BOT nelayan asing ditahan Maritim Malaysia kerana disyaki mencuri peralatan di pelantar minyak di perairan Bintulu. FOTO ihsan Maritim Malaysia
BOT nelayan asing ditahan Maritim Malaysia kerana disyaki mencuri peralatan di pelantar minyak di perairan Bintulu. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Mohd Roji Kawi


Kuching: Bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara bukan saja merompak hasil laut malah turut mengambil kesempatan mencuri pelbagai barangan di pelantar minyak tidak berpenghuni.

Kegiatan itu dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) susulan penahanan sebuah bot nelayan dari negara jiran yang menceroboh pelantar minyak tidak berpenghuni di barat laut Tanjung Kidurong, Bintulu jam 12.05 tengah hari, Khamis lalu.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, tangkapan dibuat menerusi Op Pelantar Merah 1/2022 yang dilancarkan bagi membanteras dan mengekang pencerobohan di pelantar tidak berpenghuni serta memastikan perairan negara selamat bagi aktiviti eksplorasi minyak dan gas asli.

Menurutnya, sebelum operasi itu dilancarkan, Maritim Malaysia menerima aduan daripada operator industri cari gali minyak dan gas berkaitan aktiviti pencerobohan oleh bot yang disyaki nelayan asing di beberapa pelantar tidak berpenghuni.

"Bertindak atas laporan itu, Maritim Malaysia melancarkan operasi khusus bagi menangani isu itu dengan mengatur gerak aset laut yang diketuai Kapal Maritim (KM) Arau dan pesawat AW139.

"Ketika KM Arau sedang melaksanakan operasi di sekitar perairan Bintulu, maklumat diterima berkaitan pencerobohan terhadap sebuah pelantar tidak berpenghuni oleh bot yang tidak dikenali," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, KM Arau yang digerakkan ke lokasi berjaya mengesan sebuah bot nelayan tanpa nombor pendaftaran sedang bergerak dalam keadaan yang mencurigakan dari arah sebuah pelantar tidak berpenghuni di perairan Bintulu jam 10.30 pagi.

"Selepas mendapati bot berkenaan cuba melarikan diri, KM Arau bertindak mengejarnya selama hampir dua jam sebelum berjaya memintas serta memberhentikan bot itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh tujuh kru termasuk tekong yang kesemuanya lelaki warga asing berumur dalam antara 22 tahun hingga 40 tahun dan mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui beberapa peralatan milik pelantar minyak yang dilaporkan hilang oleh pengadu seperti kabel, pakaian "overall', selimut, telefon satelit, radio serta jaket keselamatan berada di bot nelayan itu.

"Kesemua kru, bot serta hasil rampasan ditahan dan diiring ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 378 Akta Kanun Keseksaan kerana mencuri yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.

Menurutnya, kes turut disiasat mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298) kerana menceroboh pelantar yang diwartakan sebagai kawasan larangan yang jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara selama tempoh dua tahun atau denda sebanyak RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

"Pencerobohan dan vandalism terhadap peralatan logistik, teknikal, mesin serta barangan lain seperti memotong dan mencuri kabel sumber tenaga serta sistem perhubungan memberikan kesan yang besar kepada operasi dan produksi rantaian pelantar.

"Situasi itu bukan saja memberi kesan kepada operator pelantar tetapi juga menjejaskan keyakinan pelabur antarabangsa yang menjalankan operasi cari gali minyak dan gas di perairan negara yang secara langsung memberikan kesan sampingan kepada pertumbuhan ekonomi negara yang semakin pulih daripada kesan pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 12:51 PM