DUA bot yang dikesan menceroboh masuk ke kawasan larangan menangkap ikan di pelantar minyak Malikai, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
DUA bot yang dikesan menceroboh masuk ke kawasan larangan menangkap ikan di pelantar minyak Malikai, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan

DUA bot bersama lima lelaki warga Filipina ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 2.3 batu nautika tenggara dan 0.7 batu nautika timur, pelantar minyak Malikai di Kota Kinabalu, semalam.

Pada operasi jam 9 malam, lima lelaki terbabit didapati memancing ikan dalam kawasan larangan.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Mohd Rosli Abdullah berkata, suspek dikesan bot ronda APMM yang sedang melaksanakan operasi khas di kawasan pelantar minyak itu.

"Pemeriksaan mendapati, kedua-dua bot itu dinaiki lima lelaki warga Filipina berusia 20 hingga 39 tahun.

"Mereka ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan.

"Sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali," katanya pada kenyataan hari ini.

Mohd Rosli berkata, kelima-lima suspek dibawa ke Jeti APMM Sepanggar untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, rampasan membabitkan kedua-dua bot itu dianggarkan berjumlah RM52,000.

Sementara itu, Mohd Rosli berkata, operasi khas yang dilaksanakan adalah bagi mengekang pencerobohan kawasan pelantar minyak di perairan Kota Kinabalu dan Labuan yang juga dikenali sebagai Operasi Api 2/2020.

Katanya, dalam operasi khas itu, pihaknya sudah menahan empat bot sepanjang April.

"Operasi Khas ini juga adalah operasi bersama pihak Petronas bagi mengekang aktiviti menangkap ikan di kawasan pelantar minyak yang mana ia boleh mengundang bahaya kepada nelayan dan petugas di pelantar," katanya.

Mohd Rosli berkata, kawasan pelantar minyak kebiasaannya menjadi tumpuan pemancing kerana hasil laut yang banyak dan pelbagai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 8:08 PM