FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Petronas komited memberi kesedaran keselamatan kepada komuniti nelayan tempatan khususnya sewaktu melaksanakan aktiviti memancing dan menangkap ikan di sekitar kawasan pelantar minyak di perairan Malaysia.

Menerusi Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Petronas melancarkan video pesanan khidmat awam, Jauhi Pelantar Minyak bersempena kempen Keselamatan Di Laut, Jauhi Pelantar Minyak.

Video itu dihasilkan dengan kerjasama pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan akan disiarkan di semua saluran televisyen tempatan selama 12 bulan.

Naib Presiden Kanan MPM Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata, aktiviti mencari gali minyak dan gas adalah salah satu aktiviti berisiko tinggi.

"Ini kerana ia membabitkan sumber hidrokarbon semulajadi yang mudah terbakar. Sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa insiden termasuk kes ekstrem di mana segelintir nelayan terbabit dalam kegiatan merbahaya seperti meracun atau mengebom ikan di sekitar zon larangan pelantar minyak dan gas.

"Kejadian sedemikian amat berbahaya, boleh mengundang bencana termasuk mengancam nyawa nelayan, pekerja, serta boleh mendatangkan impak negatif yang serius terhadap operasi di pelantar minyak dan gas.

"Dengan kerjasama semua pihak termasuk pihak APMM, Finas dan agensi kerajaan yang lain, terutamanya komuniti nelayan, Petronas berharap kempen ini dapat mencegah insiden yang tidak diingini daripada berlaku," katanya dalam kenyataan.

Usaha pendekatan keselamatan melalui siaran video ini adalah salah satu langkah proaktif untuk menghindari insiden keselamatan yang sering berlaku khususnya apabila bot nelayan menghampiri dan memasuki zon larangan iaitu dalam lingkungan jarak 500 meter dari pelantar minyak dan gas.

Sebarang aktiviti pencerobohan yang berlaku dalam zon larangan perlu dilaporkan kepada pihak Petronas serta agensi penguatkuasaan yang sering melaksanakan aktiviti rondaan dan pemantauan bagi menghalang insiden sedemikian daripada berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 2:54 PM