Junaidi Ladjana


KERAJAAN akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani masalah pencerobohan perairan khususnya aktiviti pengeboman ikan berhampiran pelantar minyak di Sabah.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Datuk Rodzi Md Saad berkata, SOP yang diperkenalkan itu sejajar dengan usaha memastikan perairan negeri ini selamat daripada sebarang ancaman termasuk aktiviti pengeboman ikan yang dikenal pasti mendedahkan pelantar minyak kepada bahaya kebakaran dan letupan.

"Hari ini, kita mengadakan tinjauan di kawasan pelantar minyak di perairan pantai barat Sabah untuk melihat sendiri keadaan di sekitar perairan bagi membolehkan kita mengenal pasti pendekatan baru yang boleh dilaksanakan.

"Selepas ini kita akan mengadakan perbincangan menerusi bengkel dengan semua pihak yang berkaitan termasuk operator cari gali minyak untuk mengenal pasti SOP bagi pemantauan di kawasan pelantar minyak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Operasi Ahli Kumpulan Kerja Keselamatan Negeri (KKKN) di perairan berhampiran pelantar minyak St Jospeh, kira-kira 45 batu nautika, dari Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Mohd Zubil Matsom dan Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4, Sabah, Asisten Komisioner Mohd Yazib Abdul Aziz.

Seramai 28 ahli rombongan KKKN menyertai operasi itu dengan menaiki Kapal Maritim (KM) Arau, bertolak dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, pagi tadi.

Sementara itu, Mohd Zubil berkata, sebanyak 773 kes pencerobohan di kawasan perairan larangan iaitu kurang 500 meter dari pelantar minyak dilaporkan kepada APMM Sabah antara Januari lalu hingga semalam.

Beliau berkata, pencerobohan itu termasuk beberapa kes pengeboman ikan berhampiran kawasan pelantar minyak berdasarkan laporan dibuat operator pelantar terbabit.

"Mengikut statistik, di Sabah terdapat 15 pelantar minyak, namun SOP penguatkuasaan kini hanya tertumpu kepada rondaan kapal oleh APMM dan PPM.

"Masalahnya, apabila ada laporan pencerobohan daripada operator pelantar minyak. Kita sampai di sana dan didapati nelayan yang menceroboh sudah lari.

"Jadi, kira perlu buat pendekatan baru yang akan dibincangkan bersama operator pelantar minyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 5:09 PM
Rodzi (kanan) diberi penerangan oleh Mohd Zubil (kiri) pada lawatan operasi Ahli Kumpulan Kerja Keselamatan Negeri (KKKN) berhampiran pelantar minyak St Joseph di atas dek pendaratan helikopter Kapal Maritim (KM) Arau, 45 batu nautika dari Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Rodzi (kanan) diberi penerangan oleh Mohd Zubil (kiri) pada lawatan operasi Ahli Kumpulan Kerja Keselamatan Negeri (KKKN) berhampiran pelantar minyak St Joseph di atas dek pendaratan helikopter Kapal Maritim (KM) Arau, 45 batu nautika dari Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin