Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: "Alhamdulillah, syukur pada Allah... penantian hampir 20 tahun untuk memiliki dan mendiami rumah sendiri akhirnya tercapai," kata Mohamad Nor Soyona.

Mohamad Nor, 53, ialah seorang daripada 107 penerima kunci rumah terbengkalai Taman Sungai Yu Indah, Hujung Permatang, di sini, hari ini.

Katanya, dia sebelum ini menyewa sebuah rumah di Parit 3, Sungai Burong, Tanjong Karang dengan sewa RM500 sebulan untuk membesarkan tujuh anak berusia 26 hingga 12 tahun.

"Memang rasa terkilan semasa menunggu projek rumah ini disiapkan apatah lagi ia terbengkalai beberapa kali.

"Selain itu, saya juga perlu membayar kepada bank sebanyak RM350 sebulan menjadikan jumlah keseluruhan perbelanjaan adalah RM850.

"Jadi, nak tak nak saya harus menyelesaikan kedua-dua bayaran itu walaupun hati terasa berat," katanya selepas majlis penyerahan kunci rumah kos rendah itu, hari ini.

ANTARA penerima kunci rumah kos rendah di Taman Sungai Yu Indah. FOTO Aiman Hamsuddin.
ANTARA penerima kunci rumah kos rendah di Taman Sungai Yu Indah. FOTO Aiman Hamsuddin.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menyampaikan replika kunci rumah kepada 10 penerima dan melakukan lawatan ke tapak perumahan itu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Pada masa sama katanya, dia berterima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Negeri yang menyiapkan rumah itu selepas sekian lama menunggu.

"Insya Allah, perkara pertama yang akan dibuat di rumah ini ialah mengadakan majlis tahlil dan doa selamat supaya kami diberi keselesaan sepanjang tinggal di sini," katanya.

Seorang lagi penerima, V Shamini, 28, berkata, dia gembira dan dalam masa sedih kerana mendiang bapanya tidak sempat menduduki rumah itu.

"Ayah meninggal dunia kerana sakit jantung pada 2009. Memang sedih apabila mengenangkan harapan ayah yang teringin untuk mendiami rumah ini.

"Rumah ini akan menjadi peninggalan paling berharga buat saya dan keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 7:53 PM