LEBUHRAYA Kuala Lumpur-Karak. FOTO Arkib NSTP
LEBUHRAYA Kuala Lumpur-Karak. FOTO Arkib NSTP
Asrol Awang

Kuantan: Anih Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) mengesahkan laluan utama di Kilometer 68 arah ke Kuala Lumpur masih selamat untuk digunakan pengguna walaupun beberapa kawasan berhampiran dinaiki air akibat hujan lebat pada awal pagi hari ini.

Pengurus Besar Kanan Anih Berhad Radzimah Mohd Radzi berkata, hujan lebat yang melanda sejak 3 pagi itu menyebabkan kawasan seperti di Janda Baik dinaiki air.

"Walaupun hujan mula reda pada waktu ini, Anih Berhad sedang memantau paras air Sungai Bentong sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

"Alhamdulillah, setakat ini laluan utama di Kilometer 68 arah ke Kuala Lumpur masih selamat untuk digunakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, syarikat itu menasihati pengguna KLK untuk memandu dengan berhati-hati dalam cuaca hujan dan merancang perjalanan sekiranya keadaan hujan berterusan.

"Untuk maklumat lebih lanjut, tepat dan terkini, sila rujuk laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT - Line di 1-700-818-700," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 1:39 PM