Laluan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di Kilometer 113 dekat Lanchang ketika dilanda banjir pada Sabtu lalu. FOTO EFFENDY RASHID
Laluan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di Kilometer 113 dekat Lanchang ketika dilanda banjir pada Sabtu lalu. FOTO EFFENDY RASHID
Roselan Ab Malek


Jerantut: Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) kembali dibuka pada 6 petang hari ini, apabila kerja pembaikan dan pembersihan selesai dijalankan.

ANIH Berhad, pengendali KLK dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), dalam kenyataannya memaklumkan, kerja pembersihan dan membaikpulih di sepanjang lebuh raya yang terjejas akibat banjir akan selesai.

Katanya, lebuh raya itu dibuka secara berperingkat bermula 6.00 petang ini, bagi membolehkan pengguna lebuh raya sampai ke destinasi masing-masing dengan selamat.

"Bagaimanapun, pengguna dinasihati untuk tetap berhati-hati dan mematuhi tanda arah apabila menghampiri laluan kontra di Sungai Dua, iaitu di KM74.8 sehingga KM77.3 yang dibuka demi keselesaan dan keselamatan.

"Pengguna yang ingin ke Pekan Karak perlu membuat pusingan U sebelum Tol Karak, dan seterusnya keluar di susur keluar menghala ke Karak," katanya.

Menurut kenyataan itu, laluan di KM76 sehingga KM78.8 (Karak) masih ditutup untuk kerja pembersihan.

Katanya, bagi laluan menghala ke Kuala Lumpur pula, hanya lorong laju akan dibuka iaitu di Bentong bermula dari KM66 sehingga KM70.

"Semua pengguna dinasihati mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa mahupun petugas lebuh raya.

"ANIH sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan komited memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya," katanya.

Orang yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh layari laman rasmi media sosial Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad diTwitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi Hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT-Line di 09 5479111/ 1-700-818-700.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 9:16 PM