Rosman Shamsudin


Slim River: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman akan menggunakan dron secara berkala atau mengikut keperluan semasa bagi mengesan kesalahan trafik sepanjang OP Selamat 18 sempena sambutan Aidilfitri.

Timbalan Pengarah (I) JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, dron akan digunakan sama ada di jalan lama atau di lebuh raya bagi mengesan kesalahan trafik yang dilakukan oleh pengguna jalan terbabit.

Menurutnya, penggunaan dron di lebuh raya dekat kawasan tertentu hanya bertumpu kepada kesalahan penggunaan lorong kecemasan dan di jalan lama pula dron akan digunakan bagi mengesan kesalahan melanggar lampu isyarat dan juga potong barisan.

"Dron yang digunakan oleh JSPT dikendalikan oleh seorang pegawai dan dua anggota dari Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) .

MOHD Nadzri (dua kanan) melihat  anggota dari PGU menerbangkan dron bagi memantau keadaan aliran trafik. FOTO Rosman Shamsudin
MOHD Nadzri (dua kanan) melihat anggota dari PGU menerbangkan dron bagi memantau keadaan aliran trafik. FOTO Rosman Shamsudin

"Penggunaan dron di kawasan lebuh raya boleh mengesan pemandu yang menggunakan lorong kecemasan yang juga menyebabkan kesesakan dan mengundang bahaya kepada pemandu kenderaan yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan Demo Unit Dron PGU dalam penugasan OP Selamat 18 di Kilometer (KM) 365.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara kira-kira 4.30 petang tadi.

Ketika penugasan OP Selamat 18, Unit Dron PGU berjaya mengesan seorang lelaki yang berusia 20 tahun memandu kereta di dalam lorong kecemasan di KM 368 PLUS arah utara.

Tindakan lelaki terbabit mengundang padah dan ditahan serta disaman serta-merta oleh polis trafik yang bertugas di kawasan berkenaan.

Mohd Nadzri berkata, setakat ini hanya segelintir sahaja pengguna di lebuh raya yang memandu di lorong kecemasan kerana pemandu kenderaan sedia ada masih lagi menghormati undang-undang dan mendengar nasihat polis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 7:49 PM