Ahmad Hasbi


Seremban: Awas pemandu yang suka potong barisan dan menggunakan lorong kecemasan di negeri ini, ada 'mata' yang memerhati dari udara sempena cuti sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) kali ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, dua unit dron akan digunakan sepanjang dua minggu Operasi Tahun Baharu Cina 2023.

"Sepanjang tempoh Ops TBC 2023, beberapa aktiviti penguatkuasaan akan dilaksanakan JPJ. Antaranya penggunaan dron untuk tujuan pemantauan pematuhan peraturan jalan raya.

"JPJ sudah mendapat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi menerbangkan peranti berkenaan," katanya pada sidang Ops TBC 2023 di Plaza Tol Setul, Lebuhraya Kajang- Seremban (Lekas), di sini, petang tadi.

Katanya, berdasarkan penggunaan dron pada Ops Hari Raya Aidilfitri yang lalu, sebanyak 30 kes dikesan di Negeri Sembilan membabitkan kesalahan memotong barisan dan menggunakan lorong kecemasan.

"Buat masa ini JPJ Negeri Sembilan mempunyai dua dron yang dikendali dua pegawai. Mereka sudah mengikut kursus pengendalian dron dan berpengalaman.

"Penggunaan dron dapat menjimatkan penggunaan sumber tenaga manusia. Ia juga lebih efektif untuk mengesan kesalahan di lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan bandaran," katanya.

Jelas beliau, selain penggunaan dron, JPJ turut melaksanakan kaedah penyamaran sebagai penumpang bas, pemantauan di sepanjang lebuh raya dan rondaan.

"Ops Khas Motosikal juga akan diadakan secara bersepadu bersama agensi berkaitan. Malah, Pra-ops TBC di depoh dan terminal bas utama sudah dijalankan sejak 14 hingga 17 Januari lalu.

Tambahnya, secara keseluruhan seramai 218 anggota penguatkuasa JPJ Negeri Sembilan terbabit dalam Ops TBC 2023 dan cuti mereka dibekukan sepanjang tempoh penguatkuasaan supaya dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap operasi.

HANIF Yusabra  (kanan) menerangkan dron yang digunakan oleh JPJ. FOTO Azrul Edham.
HANIF Yusabra (kanan) menerangkan dron yang digunakan oleh JPJ. FOTO Azrul Edham.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 7:09 PM