Gambar hiasan
Gambar hiasan
Rosman Shamsudin
am@hmetro.com.my


Tapah: Kes penipuan atas talian paling banyak diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah membabitkan kerugian RM2,105,487.71.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kes penipuan itu merangkumi pinjaman tidak wujud melalui Facebook (FB), Macau Scam, pembelian barang secara atas talian, penipuan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) dan Parcel Scam.

Beliau berkata, selain penipuan atas talian, kes kedua tertinggi diterima ialah pecah amanah yang mencatatkan kerugian sebanyak RM223,182.70 dan pinjaman wang tidak berlesen merekodkan kerugian RM142,000.

"Bagi kes pinjaman tidak wujud, modus operandi digunakan membabitkan penyamaran sebagai pegawai bank yang menawarkan kadar bayaran bulanan rendah dan proses bayaran mudah serta segera dengan mengenakan caj tambahan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, Macau Scam pula membabitkan penyamaran sebagai pegawai bank, anggota polis, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau kakitangan mahkamah dengan menggunakan panggilan telefon.

Beliau berkata, panggilan telefon itu menggunakan teknologi Voice Over Internet Protocol (VOIP) yang mana perisian ini mampu mengubah talian kepada sesiapa saja yang ditetapkan oleh sindiket.

WAN Azharuddin Wan Ismail. FOTO Rosman Shamsudin
WAN Azharuddin Wan Ismail. FOTO Rosman Shamsudin

"Suspek akan menakutkan mangsa dengan memaklumkan dia terbabit dengan kes jenayah iaitu pengubahan wang haram, pengedaran dadah dan terdapat waran tangkap dan mengenakan caj yang tidak wujud bagi menyelesaikan kes terbabit," katanya.

Wan Azharuddin berkata, bagi kes penipuan membeli barangan secara atas talian, suspek menggunakan Facebook (FB), Instagram atau laman E-commerce untuk menawarkan harga barang yang jauh lebih murah dari pasaran sedangkan produk itu tidak wujud.

"Kes penipuan nombor TAC membabitkan suspek menggodam sistem perbankan dalam talian milik mangsa sehingga mangsa menyerahkan nombor TAC dan mangsa sendiri tidak tahu bahawa berlaku perpindahan wang.

"Bagi kes Parcel Scam, suspek akan memulakan perkenalan dengan mangsa melalui laman sosial dan menawarkan pemberian hadiah sebagai tanda persahabatan.

"Suspek akan meminta butiran peribadi mangsa untuk membuat penghantaran hadiah dan akhirnya mangsa akan menerima panggilan telefon daripada syarikat penghantaran yang tidak wujud yang meminta mangsa menyelesaikan caj penghantaran cukai," katanya.

Beliau berkata, punca utama yang menyebabkan mangsa terjerat ialah kurang pendedahan mengenai modus operandi digunakan oleh suspek.

"Polis juga menasihatkan orang awam tidak memberikan maklumat akaun serta kad bank kepada individu yang tidak dikenali bagi mengelakkan diri daripada menjadi kedai akaun kepada suspek.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kejadian jenayah serta mempunyai maklumat maka bolehlah menghubungi terus IPD Tapah di talian 05-4015222 atau SMS ke Rakan COPS bernombor 32728 atau datang ke balai polis berdekatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 12:39 PM