GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Guru wanita kerugian RM27,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menghubunginya dan menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berusia 38 tahun itu menerima panggilan telefon dari suspek pada semalam.

Menurutnya, mangsa yang sudah berkahwin dan berasal dari Sungai Petani dihubungi suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai Noraini Haji Daud.

"Suspek memberitahu mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM38,600.90 dan mendakwa nama mangsa dipercayai disalah gunakan oleh individu lain dalam pendaftaran sebuah syarikat di Kuantan, Pahang.

"Talian telefon mangsa kemudian disambungkan kepada rakan sindiket pula yang menyamar sebagai anggota polis di Kuantan, Pahang untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elias berkata, selepas semakan dibuat mendapati mangsa didakwa secara tidak langsung terbabit dalam kegiatan penyelewengan wang dan sindiket dadah.

Katanya, bagi mengelakkan akaun bank mangsa dibekukan, suspek mengarahkan mangsa memindahkan semua wang yang terdapat dalam empat akaun Tabung Haji milik keluarganya kepada dua akaun bank milik mangsa.

"Suspek meminta mangsa memberikan nombor akaun bank, nombor kad debit dan butiran perbankan milik mangsa.

"Bagaimanapun, penipuan ini mula disedari mangsa apabila hasil semakan akaun bank mendapati wang berjumlah RM27,000 dalam akaun bank milik mangsa sudah dipindahkan kepada akaun ketiga," katanya.

Menurut Elias, mangsa kemudian membuat laporan polis di Sungai Petani dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai jangan mudah percaya dengan panggilan yang diterima terutama yang mengaku dari agensi kerajaan seperti mahkamah, LHDN, PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atau pihak bank yang meminta maklumat akaun bank bagi tujuan siasatan dan lain-lain tujuan.

"Sindiket penipuan selalu menggunakan modus operandi sedemikian untuk tujuan penyamaran dan menipu mangsanya.

"Orang ramai boleh menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ dan tidak mempercayai orang yang menyamar sebagai pihak berkuasa atau mendapatkan maklumat dan modus operandi jenayah komersil terkini melalui https://www.facebook.com/CyberCrimeAlertRMP/," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 4:00 PM