MOHD Kamarudin.  FOTO Arkib NSTP
MOHD Kamarudin. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Menyamar sebagai rakan seterusnya menghubungi mangsa menerusi Whatsapp, Telegram dan Facebook untuk meminjam wang antara modus operandi digunakan penjenayah untuk melakukan penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sebanyak 778 kes penyamaran dengan modus operandi sama disiasat pihaknya membabitkan kerugian RM4,802,001.06 pada tahun lalu.

"Manakala bagi tempoh antara Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 314 kes sama dicatatkan dengan kerugian RM2,307,438.47.

"Sejak awal tahun ini, sindiket penyamaran ini didapati mula melakukan penggodaman ke atas akaun Telegram milik mangsa dan menghubungi senarai rakan untuk meminjam wang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, pemilik sebenar akaun Telegram hanya menyedari perkara itu apabila akaun mereka tidak dapat diakses atau menerima panggilan daripada kenalan berkenaan kesahihan pinjaman wang yang ingin dibuat sebagai langkah pencegahan.

"Pengguna akaun Telegram adalah dinasihatkan untuk mengaktifkan penetapan pin keselamatan two step verification di akaun Telegram masing-masing.

"Melalui tetapan ini, tahap keselamatan akaun Telegram dapat dipertingkatkan sekali gus mengelakkan penjenayah mengaktifkan akaun berkenaan melalui peranti lain.

"Orang ramai juga adalah dinasihatkan untuk tidak mudah percaya kepada mesej pinjaman wang diterima daripada kenalan terutama apabila akaun bank yang digunakan adalah milik individu lain," katanya.

Menurutnya, walau apa pun alasan mereka, lakukan semakan dengan menghubungi kenalan itu bagi tujuan pengesahan.

"Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 6:19 PM