WARGA kota mengambil kesempatan pulang ke kampung halaman sempena cuti perayaan Aidilfitri di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Bandar Tasik Selatan. FOTO Hazreen Mohamad
WARGA kota mengambil kesempatan pulang ke kampung halaman sempena cuti perayaan Aidilfitri di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Bandar Tasik Selatan. FOTO Hazreen Mohamad
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Berbaki tiga hari lagi umat Islam akan meraikan Aidilfitri, suasana di terminal bas sekitar ibu kota turut dipenuhi orang ramai yang ingin balik beraya ke kampung halaman masing-masing.

Selepas dua tahun merayakan lebaran dalam suasana pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun ini rata-rata orang ramai dilihat tidak melepaskan peluang beraya bersama keluarga tercinta biarpun terpaksa menempuh perjalanan berjam-jam.

Tinjauan Harian Metro di Terminal Bas Hentian Duta di sini menunjukkan keadaan masih lagi terkawal biarpun ada penumpang yang membeli tiket bas di saat akhir.

Bagi penuntut universiti awam, Nurul Afiqah Anuar, 21 berkata, dia memilih untuk menaiki bas ekspres untuk pulang ke Perlis.

"Saya bercadang pulang ke kampung lebih awal memandangkan ramai rakan yang sudah pulang beraya, tetapi saya perlu menyelesaikan beberapa tugasan dan saya bernasib baik kerana tiket bas masih ada.

"Syukur hari ini tidak terlalu sesak di sini dan tugasan saya juga sudah selesai, jadi saya nak menghabiskan cuti raya ini bersama keluarga di kampung," katanya yang dijangka akan sampai di Perlis pada 8 malam nanti.

NURUL Afiqah. FOTO Rohanis Shukri.
NURUL Afiqah. FOTO Rohanis Shukri.

Sementara itu, peniaga Intan Shazira Sulaiman, 29 berkata dia membeli tiket awal seminggu secara online.

Dia yang akan pulang ke Teluk Intan, Perak berkata, dia bersama anak dan adiknya memilih menaiki bas ekspres untuk pulang raya kali ini kerana lebih mudah menggunakan pengangkutan awam.

"Saya pilih untuk berangkat dari Hentian Duta ini sebab lebih dekat dengan rumah (Wangsa Maju) dan tidak mahu bersesak.

"Raya kali ini, saya nak gunakan sepenuhnya untuk bersama keluarga di kampung, saya rindu nak bakar lemang dan masak juadah bersama adik-beradik dan sanak saudara," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Menurutnya, walaupun terpaksa membeli tiket saat akhir dan harga lebih mahal, dia bersyukur kerana perayaan tahun ini cukup bermakna buatnya kerana tiada lagi PKP.

Bagaimanapun, bagi penjaga kaunter bas, Zanariah Huzaini berkata, keadaan pengunjung tidak boleh dijangka kerana ada masanya penuh tetapi pihaknya sudah bersiap sedia kerana terdapat banyak pilihan waktu perjalanan bas boleh dibeli pelanggan.

"Buat masa ini, syarikat kami tidak membuat penambahan bas dan sebanyak 10 'trip' disediakan bermula dari 8.30 pagi hingga 12 tengah malam.

"Kebanyakan orang ramai membeli tiket secara online dan ada juga yang 'walk-in', kami jangkakan lebih ramai yang akan pulang ke kampung bermula malam ini hingga Isnin," katanya.

Selain Terminal Bas Hentian Duta (tumpuan ke Utara Semenanjung), Terminal Bersepadu Selatan (TBS) turut menjadi pilihan utama perantau di kota pulang ke kampung halaman.

Selain itu, pemerhatian Harian Metro di TBS menunjukkan keadaan sesak sejak pagi dengan orang ramai yang pulang ke kampung.

Namun, keadaan masih terkawal kerana TBS yang berkapasiti lebih besar itu bukan sahaja menyediakan perkhidmatan bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Utara, malah Selatan Semenanjung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 3:08 PM