Kuala Lumpur: Tidak mahu lagi dengar rayuan atau alasan. Itu amaran keras dikeluarkan polis terhadap 1.5 juta pesalah trafik tegar di seluruh negara yang masih gagal melunaskan saman dan waran tangkap mahkamah.

Semua pesalah trafik itu akan diburu secara besar-besaran sebaik polis melancarkan Operasi Waran Tangkap Trafik (Op Warta) bulan hadapan.

Ketua Trafik Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata, tiada lagi tempoh rayuan diberikan kepada pesalah trafik yang dikesan tidak melunaskan saman mereka.

“Belum ada tarikh tepat untuk pelancaran operasi berkenaan, tetapi ia dijangka bakal dilaksanakan penghujung bulan ini atau Mei.

“Oleh itu saya menasihatkan orang ramai untuk pergi menyemak rekod kenderaan masing-masing yang mempunyai rekod kesalahan trafik tertunggak di mana-mana balai polis trafik berhampiran,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, semalam.

Mohd Fuad berkata, pihaknya akan menjejaki pesalah trafik yang tidak melunaskan saman terutamanya individu yang sudah dikeluarkan waran tangkap oleh mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 10:52 AM