Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan tindakan penguatkuasaan secara digitalisasi melalui penggunaan alat kamera pengesanan had laju dan 'Intelligent Compound Online Payment System' (iCOPS) pada Op Selamat 17 Sempena Tahun Baharu Cina.

Kamera pengesanan had laju 'In-Car Radar' dan iCOPS akan dipasang pada kenderaan peronda polis yang menjalankan pemantauan di sepanjang lebuh raya.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata, penambahbaikan itu akan dipraktikkan pada Op Selamat bermula 28 Januari sehingga 6 Februari ini selepas dua tahun tidak dilaksanakan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Alat 'In-Car Radar' akan mengesan kenderaan yang melebihi had kelajuan ditetapkan di lebuh raya dan memastikan pengguna mematuhi peraturan.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

"Pada masa sama, PDRM menggunakan iCOPS bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap selain kenderaan terbabit kes jenayah seperti dicuri, klon serta nombor plat palsu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Op Selamat 17 Sempena Tahun Baharu Cina di Restoran Jejantas Sungai Buloh di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Datuk Mat Kassim Karim, Pengerusi PLUS Malaysia Bhd Datuk Mohamad Nasir Ab Latif dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia Datuk Ir Mohd Shuhaimi Hassan.

Sementara itu, Mohamad Nasir berkata, Lebuhraya PLUS dijangka menerima lonjakan jumlah kenderaan sebanyak 1.6 juta sepanjang cuti sambutan Tahun Baharu Cina.

"Seramai 264 pasukan PLUSRonda akan bertugas sepanjang musim perayaan ini dan kekerapan rondaan ditambah bagi membantu pelanggan yang menghadapi masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 1:54 PM