Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Polis tidak akan menahan dan mengambil tindakan terhadap individu yang memiliki banyak saman atau waran tangkap sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat ke-18 (Op Selamat 18).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, tindakan itu tidak akan diambil dalam tempoh ini kerana tugas pihaknya sempena Op Selamat adalah untuk melancarkan perjalanan pengguna balik ke kampung halaman.

Beliau ingin menjelaskan kembali, Op Selamat yang dilancarkan matlamatnya adalah mengutamakan perjalanan yang lancar dan tanpa halangan.

"Kita mahu semua pengguna dapat pulang ke kampung dengan selamat untuk meraikan hari raya memandangkan sudah dua tahun tidak boleh balik kampung susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Di samping itu, pihak JSPT menggunakan alat bantuan teknologi Intelligent Compound Online Payment System (iCOPS) dan alat pengesan had laju In-Car Radar untuk mengesan kenderaan yang membawa laju, tidak mengikut peraturan jalan raya termasuk individu yang ada rekod dalam pangkalan data kita dan mempunyai waran tangkap.

"Namun, pihak kita tidak akan menahan mereka yang mempunyai saman yang banyak dan waran tangkap. Bukan fokus kita nak tangkap mereka dan alat itu (iCOPS dan In-Car Radar) lebih bantu kami untuk menjalankan tugas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan penyerahan tugas daripada Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat kepada Datuk Muhamad Zaki Harun yang memangku Ketua Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mat Kasim berkata, pihak polis akan menyantuni masyarakat bagi melancarkan perjalanan dengan bantuan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) untuk membantu permudahkan pengguna di jalan raya.

"Kita tidak akan menggunakan kuasa-kuasa tertentu kerana matlamat Op Selamat untuk membantu melancarkan perjalanan di jalan raya di seluruh negara.

"Untuk tahan pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan bukan pada masa Op Selamat atau hari raya," katanya.

Beliau berkata, sebanyak lima unit iCOPS yang digunakan di seluruh negara termasuk di Utara, Selatan dan Pantai Timur.

Mat Kasim berkata, pihaknya akan mengambil tindakan kepada individu yang terbabit dengan kes-kes jenayah.

Shafien (kiri) menyerahkan tugas kepada Muhamad Zaki (kanan) disaksikan Mat Kasim di IPK Kelantan, hari ini. FOTO HIDAYATIDAYU RAZALI.
Shafien (kiri) menyerahkan tugas kepada Muhamad Zaki (kanan) disaksikan Mat Kasim di IPK Kelantan, hari ini. FOTO HIDAYATIDAYU RAZALI.

Media sebelum ini melaporkan, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain dipetik berkata, sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat, individu yang memiliki waran tangkap akan dibawa ke balai polis berhampiran, manakala yang memiliki saman tertunggak pula akan diminta menjelaskan saman mereka.

Katanya lagi, polis akan mengoptimumkan penggunaan alat pengesanan had laju 'In-Car Radar' di sepanjang lebuh raya dan jalan raya utama sepanjang Op Selamat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 6:21 PM