Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan menasihati orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri dan sentiasa peka mengenai laluan SmartLane. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan menasihati orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri dan sentiasa peka mengenai laluan SmartLane. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pengguna lebuh raya diminta sentiasa peka dan tidak sewenang-wenangnya menghalang atau 'menghukum' mana-mana individu yang menggunakan laluan SmartLane di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan.

Itu peringatan Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan yang meminta semua pengguna lebuh raya supaya peka dan melihat kepada tanda tertentu yang akan diletakkan di lokasi SmartLane.

Menurutnya, isu membabitkan SmartLane dibincangkan JPJ bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Plus Malaysia Berhad (Plus) yang meningkatkan laluan daripada 14 lokasi ketika Tahun Baharu Cina lalu kepada 18 lokasi bagi membantu penyuraian kesesakan trafik sempena perayaan Aidilfitri.

"Untuk maklumat semua, kena lihat tanda-tanda tertentu di kawasan SmartLane, akan ada tanda amaran, pemakluman selain lampu isyarat juga akan dinyalakan untuk membolehkan kenderaan melalui lorong-lorong kecemasan yang dijadikan sebagai SmartLane.

"Jadi, orang ramai harus peka melihat kepada tanda-tanda ini dan jangan sewenang-wenangnya mengambil tindakan seolah-olah ada orang melakukan kesalahan dan sebagainya.

"Kena lihat SmartLane ini pada permulaan dan akhirnya akan diletakkan tanda dan pekerja konsesi lebuh raya juga berada di kawasan itu," katanya ketika selepas Op Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 di Jalan Tun Fatimah, Bachang, di sini, semalam.

Beliau mengulas isu perbuatan membuli pengguna laluan SmartLane seperti yang tular dalam video sebelum ini.

Video berdurasi satu minit 11 saat itu memaparkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi berhenti di hadapan sebuah kereta di lorong kecemasan yang diaktifkan Smart Lane sebelum merosakkan cermin sisi kenderaan berkenaan.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, laluan SmartLane tidak dibuka setiap masa sebaliknya pada masa tertentu dan perlu disemak dengan konsesi berkaitan.

"SmartLane ini juga memang tidak dibenarkan pada waktu malam sebab ia mendatangkan lebih bahaya berbanding waktu siang," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 59,771 kenderaan diperiksa termasuk 25,841 motosikal dalam tempoh dua hari Op Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 bermula 1 April lalu hingga Selasa lalu.

"Kita dapati 25 peratus daripada keseluruhan kenderaan diperiksa melakukan pelbagai kesalahan dan sudah diberikan notis iaitu sebanyak 14,683 notis.

"Daripada jumlah itu, 30 peratus atau 7,785 membabitkan motosikal. Kebanyakannya kesalahan tidak mempunyai cukai jalan (Lesen Kenderaan Motor) dan insurans (3,283 kes), lesen memandu (2,681 kes) dan lain-lain," katanya.

Menurutnya, pihaknya melaksanakan operasi khas secara berfokus sempena perayaan Aidilfitri bermula Isnin lalu hingga 20 April ini dalam usaha untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

Pemeriksaan juga akan dibuat di 54 depoh dan 28 terminal bas utama sepanjang tempoh sama bagi memastikan kelancaran dan kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 10:44 AM