Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Cubaan tiga lelaki menyeludup keluar minuman keras dari Pulau Labuan gagal selepas berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM), dalam operasi di kawasan anak sungai Menumbok, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 11 malam itu, semua minuman keras pelbagai jenama yang berjaya dirampas dianggarkan bernilai RM556,665.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, bertindak atas maklumat, pasukan operasi melakukan serbuan dan pemeriksaan terhadap bot laju yang dilengkapi tiga enjin dan sebuah kenderaan.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya berjaya menahan tiga lelaki dewasa berusia lingkungan 28 hingga 31 tahun.

"Pemeriksaan lanjut terhadap bot laju dan kenderaan berkenaan membawa kepada penemuan beberapa karton pelbagai jenis minuman keras.

"Semua minuman berkenaan didapati sedang dipunggah dari bot laju masuk ke kenderaan berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua individu yang ditahan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Menumbok untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 4:39 PM