ANGGOTA PPM Labuan menunjukkan minuman keras yang dirampas di kawasan tebing sungai Kampung Sarap, Menumbok. FOTO Ihsan PPM
ANGGOTA PPM Labuan menunjukkan minuman keras yang dirampas di kawasan tebing sungai Kampung Sarap, Menumbok. FOTO Ihsan PPM
Mohd Nazllie Zainul


PASUKAN Polis Marin (PPM), hari ini, merampas 10 karton minuman keras dianggarkan bernilai RM6,000 disyaki diseludup untuk memenuhi permintaan pasaran di Sabah.

Minuman keras terbabit dirampas sepasukan anggota PPM Labuan yang menjalankan tugas Ops Selamat dengan bot ronda di kawasan tebing sungai Kampung Sarap, Menumbok di Sabah, 1.30 pagi tadi.

Rampasan dibuat selepas pasukan keselamatan mengesan beberapa individu memunggah barang dari bot laju ke dalam van di tebing sungai berkenaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, ketika cuba dihampiri anggota PPM, semua suspek melarikan diri dengan menaiki van terbabit, manakala juragan bot laju terjun ke dalam sungai dan tidak dapat dikesan.

“Pemeriksaan lanjut pada bot berkenaan menemui 10 karton minuman keras, iaitu baki yang disyaki belum sempat dipunggah masuk ke dalam van.

“Semua minuman keras itu dipercayai diseludup untuk dipasarkan ke Sabah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, bot laju jenis fiber beserta tiga enjin masing-masing 200 kuasa kuda (hp) dan minuman keras dirampas sebelum ditunda ke Pangkalan PPM Labuan untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan bot laju dan enjin dianggarkan RM190,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, iaitu memiliki dan menyimpan barangan tidak bercukai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 9:48 PM