Suspek berusia 30-an ditahan bersama minuman keras pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM8,850 termasuk cukai.  FOTO JUWAN RIDUAN
Suspek berusia 30-an ditahan bersama minuman keras pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM8,850 termasuk cukai. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


SEORANG juragan bot ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) yang sekali gus berjaya mematahkan cubaan menyeludup minuman keras di perairan Labuan, semalam.

Lelaki berusia 30-an itu ditahan kira-kira 4.20 petang itu dalam Op Benteng Covid-19 yang dalam perjalanan menuju ke Menumbok, Kuala Penyu.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Labuan, Asisten Superintendan Mohamad Ismail berkata, bot laju itu berjaya dipintas dan pemeriksaan lanjut menemukan minuman keras pelbagai jenama belum lulus cukai.

"Turut dirampas bot laju kargo bersama enjin sangkut Yamaha 200 kuasa kuda membabitkan nilai keseluruhan RM74,850," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM WP Labuan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

"Penyeludupan minuman keras dan rokok sekiranya tidak dibanteras boleh mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian dengan ketirisan nilai cukai yang besar.

"Pasukan Polis Marin sentiasa mengalu-alukan orang awam khususnya masyarakat maritim supaya sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak polis dalam sama-sama membantu menjaga keamanan negara khususnya di perairan Sabah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 1:14 PM