Bot dan lori kargo yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan dirampas. FOTO IHSAN APMM
Bot dan lori kargo yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan dirampas. FOTO IHSAN APMM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Sekumpulan lelaki yang sedang leka memunggah minuman keras tidak bercukai di perairan Menumbok, di sini, bertempiaran lari selepas diserbu anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, bot peronda APMM yang menjalankan Ops Khas mengesan pergerakan sebuah bot bergerak laju di timur laut Pulau Belangkasan menuju ke Muara Sungai Sarap, Menumbok.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, dalam keadaan gelap, bot peronda APMM bertindak mengekori bot pancung berkenaan sehingga ke tebing Sungai Sarap.

"Hasil pemerhatian mendapati bot berkenaan sedang menjalankan aktiviti pemunggahan barang ke lori kargo.

"Ketika serbuan dibuat, semua suspek bertindak melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran dan meninggalkan bot, lori serta muatan yang dipunggah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, usaha menjejaki suspek yang berada di lokasi pemunggahan gagal berikutan keadaan gelap dan kawasan berpaya.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan lanjut mendapat muatan terbabit berupa 300 karton minuman keras tidak bercukai pelbagai jenama dipercayai cuba diseludup masuk dari Labuan.

"Bot, lori kargo ditahan bersama muatan barangan dan diiring ke Maritim Negeri Sabah dan Labuan untuk siasatan lanjut.

"Nilai rampasan termasuk bot bersama enjin, lori kargo dan muatan berjumlah lebih RM350,000," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 (JPDS) kerana membawa barang-barang tidak bercukai dan menggunakan bot tidak berdaftar.

Sementara itu, katanya APMM akan mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan komuniti setempat mematuhi peruntukan undang-undang di zon maritim negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 10:25 AM