IZHAM Hashim (tiga, kanan) melawat gerai jualan selepas mengadakan sidang media khas Karnival Jualan Mega Prihatin sempena musim perayaan Aidilfitri di Pasar Tani Seksyen 13. FOTO BERNAMA
IZHAM Hashim (tiga, kanan) melawat gerai jualan selepas mengadakan sidang media khas Karnival Jualan Mega Prihatin sempena musim perayaan Aidilfitri di Pasar Tani Seksyen 13. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Selangor memperuntukkan RM1.1 juta bagi pelaksanaan Karnival Jualan Mega Prihatin sempena Aidilfitri yang akan bermula esok hingga 2 Mei.

Ia berlangsung di 29 lokasi menerusi tiga program iaitu Jualan Prihatin Rakyat Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS); Selangor Agro Market Pra Syawal dan Pasar Tani; serta Tapak Pasar Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Ko-Hijrah).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani negeri, Ir Izham Hashim berkata, terdapat enam barang keperluan utama ditawar harga rendah iaitu ayam segar, daging pejal segar, tulang lembu, telur ayam gred B, ikan sejuk beku (Qfish) dan minyak masak paket.

"Ini adalah rentetan program Jualan Prihatin Rakyat (JPR) yang kita laksanakan sejak Februari lalu dan sempena Aidilfitri, kita tambahkan (barang keperluan utama) untuk beri peluang kepada rakyat membuat belian.

"Kita menyediakan 23,200 ekor ayam; 23,200 kilogram (kg) daging pejal segar; 16,700 kg tulang lembu; 18,200 telur ayam; 25,200 kg minyak masak paket dan 1,500 kg ikan q-fish," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Karnival Jualan Mega Prihatin di Pasar Tani Stadium Shah Alam di sini, hari ini.

Izham berkata, JPR yang diadakan setiap hujung minggu telah berjaya memanfaatkan 50,000 rakyat Selangor dan pihaknya menjangkakan 50,000 lagi rakyat akan menerima manfaat daripada jualan mega itu, dengan subsidi ditawar antara RM10 hingga RM11.

"Bekalan mencukupi namun, had belian ditetapkan iaitu maksimum dua ekor ayam segar dan dua paket minyak masak untuk setiap pembeli. Ini bagi memastikan tiada penyalahgunaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 2:25 PM