Faliq Lajim


KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memberi jaminan harga barangan keperluan dan makanan yang dijual menerusi pasar tani di seluruh negara sempena Aidilfitri, bersifat mampu milik dan berkualiti.

Ia selaras program ‘Jualan Jimat Belanja Aidilfitri@Pasar Tani’ anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang berlangsung sejak kelmarin sehingga 14 Jun ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, berkata, pasar tani satu agensi yang diberikan peranan oleh FAMA supaya menjual hasil barangan keperluan terutama bahan mentah dan makanan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.

“Menjelang Aidilfitri ini, khidmat jualan jimat ini dilancarkan supaya rakyat dapat menjadikan 732 pasar tani di seluruh negara sebagai destinasi berbelanja.

“Pengguna mempunyai lebih banyak pilihan kerana barangan termasuk ayam, daging, ikan dan sayur jauh lebih segar dan dijual dengan harga berpatutan berbanding pasar raya, pasar besar atau kedai runcit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jualan Jimat Belanja Aidilfitri@Pasar Tani di Pasar Tani Stadium Shah Alam, Seksyen 13, Shah Alam, hari ini

Turut hadir, Exco Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim dan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak.

Dalam pada itu, kata Salahuddin, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang aduan terutama berkaitan bekalan mentah yang tidak mencukupi.

“Kita tidak menerima aduan yang serius dan MOA sentiasa memastikan bekalan cukup, selain bermutu dan berkualiti.

“Jika ada aduan kenaikan harga, ia akan dikuat kuasakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerusi pemantauan lanjut,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan duit raya dan cenderahati kepada 50 anak yatim dari Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Solihi, Kanchong Darat, Banting.

Sumbangan itu hasil kutipan derma pengunjung dan usahawan pasar tani seluruh negara terutama di Selangor.

Mengulas sama ada harga barangan turun sejak pelaksanaan kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), beliau berkata, ia sememangnya sudah pasti.

“Kita mengharapkan kesan rantaian daripada GST sifar itu memberi pulangan faedah kepada rakyat. Tiada guna kita perjuangkan GST sifar itu sekiranya rakyat tidak dapat manfaat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 8:55 PM
SALAHUDDIN (dua kiri) melakukan jualan jagung kepada pembeli selepas Majlis Pelancaran Jimat Belanja Aidlfitri 2018. FOTO Roslin Mat Tahir
SALAHUDDIN (dua kiri) melakukan jualan jagung kepada pembeli selepas Majlis Pelancaran Jimat Belanja Aidlfitri 2018. FOTO Roslin Mat Tahir