PASAR tani. FOTO Bernama
PASAR tani. FOTO Bernama
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) Selangor akan membuka pasar tani yang baharu bertempat Taman TTDI Jaya, Jalan Saujana Indah 1, Seksyen U2, di sini dalam usaha memperluaskan rantaian bekalan makanan tempatan kepada pengunjung.

Pengarah FAMA Selangor, Abdul Rashid Bahri berkata, pembukaan pasar tani ini menjadikan keseluruhan pasar tani di Selangor sebanyak 50.

"Pasar Tani Taman TTDI Jaya di Seksyen U2 itu akan mula dibuka pada 17 Mac depan, bermula dari 4 petang sehingga jam 10 malam.

"Pelbagai komoditi yang ditetapkan oleh pihak FAMA, antaranya sayur-sayuran, barangan runcit, ikan, ayam, daging, makanan dan sebagainya.

"Lokasi yang strategik berhampiran dengan Politeknik Shah Alam, Laman Glenmarie dan Seksyen U2 memudahkan orang ramai untuk mendapatkan bekalan keperluan serendah lima hingga 20 peratus daripada harga pasaran," katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Rashid berkata, seramai 50 usahawan yang terbabit dalam operasi pasar tani ini.

"Pelbagai aktiviti yang akan diadakan antaranya promosi produk usahawan Industri Asas Tani, promosi Nanas Moris daripada Johor, jualan Happy Hour dan banyak lagi.

"Selain itu, bagi pengunjung yang datang ke pasar tani hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan antaranya pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, kekalkan penjarakan fizikal, imbas kod QR dan merekod suhu badan," katanya.

Sehubungan itu katanya, FAMA Selangor menjemput orang ramai ke pasar tani yang baru itu bagi mendapatkan bekalan keperluan harian yang segar dengan harga berpatutan sekali gus membantu petani tempatan bagi meneruskan kelangsungan ekonomi negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 8:36 AM