TELUR ayam dijual pada harga lebih rendah pada Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin. FOTO Ihsan Pejabat Menteri Besar.
TELUR ayam dijual pada harga lebih rendah pada Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin. FOTO Ihsan Pejabat Menteri Besar.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin yang menawarkan barangan pada harga antara 20 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran akan diteruskan pada Sabtu ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, program itu akan diadakan di lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan.

Katanya, di DUN Klawang akan diadakan di Pejabat Pertanian Daerah Jelebu; DUN Jeram Padang di Stesen Bas Rompin; DUN Seri Menanti di Perkampungan Budaya Terachi; DUN Sikamat di Dewan Orang Ramai Sikamat dan DUN Sri Tanjung di Tapak Pasar Malam Pekan Port Dickson.

"Di DUN Chembong pula diadakan di Lot Kedai Taman Chembong Utama; DUN Bukit Kepayang di Flat Cempaka Seremban 2 dan di DUN Gemas di Tapak Pasar Malam Pasir Besar, pada Ahad," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, program berkenaan adalah manifestasi keprihatinan kerajaan negeri terhadap isu kenaikan harga barang yang menghimpit rakyat di negeri ini.

"Diharap inisiatif ini dapat meringankan beban yang dihadapi rakyat," katanya.

Aminuddin berkata, antara barangan yang dijual termasuk sayur-sayuran dengan harga ladang dalam paket.

Beliau berkata, ayam segar dijual secara berpusat pada harga RM13 seekor dengan kadar berat antara 1.7 kilogram (kg) dan 2 kg.

Menurutnya, selain itu telur ayam dijual secara berpusat iaitu gred B (RM12), gred C (RM11) dan gred D (RM10).

"Daging lembu tempatan pula dijual secara berpusat pada harga RM32 kg dan ikan segar dijual secara berpusat mengikut jenis.

"Terdapat pelbagai barangan lain termasuk minyak masak," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi menjayakan Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin yang mendapat kerjasama agensi seperti Jabatan Pertanian Negeri Sembilan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Inisiatif berkenaan adalah strategi serampang dua mata yang akan memberi impak positif kepada bukan sahaja oleh rakyat sebagai pembeli dan pengguna, malah juga pengeluar, penternak dan usahawan tani yang terbabit secara langsung dalam membekalkan produk makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 1:33 PM