TENGKU Hassanal
TENGKU Hassanal
Asrol Awang


Kuantan: Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak anak muda untuk bersama melestarikan alam sekitar sempena sambutan Hari Bumi pada 22 April setiap tahun.

Baginda bertitah, anak muda diharap dapat bersama menggalas tanggungjawab untuk memacu perubahan secara kolektif dan mengawal masa depan.

Pada masa sama, titah baginda, semua pihak perlu melakukan perubahan bersifat transformasi bukan sahaja daripada segi minda, malah dalam setiap aspek kehidupan bagi memastikan bumi dapat dilestarikan sebaik-baiknya.

"Pandemik Covid-19 yang disebabkan virus daripada ekosistem semula jadi yang masuk ke ekosistem baharu sehingga menjangkiti tubuh manusia adalah iktibar penting akibat alam semula jadi yang diterokai sewenang-wenangnya.

"Pemulihan sosio ekonomi Covid-19 tidak akan lengkap jika kita masih gagal meletakkan keutamaan pada kesihatan planet," titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Biarpun kesedaran dan keprihatinan alam sekitar semakin meluas sejak lima dekad lalu, baginda bertitah, kegiatan manusia turut terbabit merosakkan jaringan hidup yang menjadi pergantungan kita untuk mendapatkan sumber makanan, sumber air, udara bersih dan sebagainya.

"Berdasarkan penilaian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2019, dianggarkan 60 peratus perkhidmatan ekosistem semula jadi semakin terancam dengan ketara, yang mana ancaman kepupusan sejuta spesies flora dan fauna akan berlaku menjelang 2050," titah baginda.

Justeru, baginda bertitah, tindakan segera dan perancangan jangka panjang perlu dilakukan untuk mengelak kehilangan sumber kepelbagaian biodiversiti, perubahan iklim dan ketandusan tanah.

Titah baginda, tidak cukup hanya menjadi pemerhati, setiap daripada kita perlu memikul tanggungjawab bersama.

"Kerajaan, institusi perniagaan dan kewangan, pertubuhan bukan kerajaan dan setiap warganegara perlu tampil untuk memulihkan kerosakan alam semulajadi dan perubahan iklim.

"Ayuh anak-anak muda sekalian! Marilah kita bersama-sama menggalas tanggungjawab dengan bertindak segera.

"Kita boleh memacu perubahan secara kolektif dan mengawal masa depan kita sendiri," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 4:11 PM