Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan bertitah ketika majlis Pelancaran Buku Tafsir Mawdu'i Sungai karya Zulkifli Yusof dan Zaini Ujang di Auditorium Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan bertitah ketika majlis Pelancaran Buku Tafsir Mawdu'i Sungai karya Zulkifli Yusof dan Zaini Ujang di Auditorium Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Oleh Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah supaya diwujudkan kerangka baharu yang lebih segar, teratur dan berdaya maju bagi menangani kelemahan pengurusan lembangan sungai.

Baginda bertitah, ini kerana, masyarakat masih belum peka dan cakna walaupun sudah ada pelbagai dasar diperkenalkan selain pelbagai program sudah diusahakan berhubung perkara itu.

Titah baginda, persoalan melestarikan sungai bersifat budaya dan geopolitik yang mana tidak mungkin berjaya ditangani dengan kerangka lama yang tegar dan bersegmen.

"Pelestarian sungai bermaksud kerangka membaik pulih dan menambah baik kualiti air sungai supaya sentiasa bersih dan boleh digunakan.

"Pelestarian sungai adalah tanggung jawab semua pihak, bukan tanggungjawab yang terbatas atau khusus kepada sesebuah agensi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Tanggungjawab melestarikan sungai perlu diserlahkan dalam bentuk amalan hidup mesra alam dan sikap proaktif bagi memberi sumbangan, atau bersedia membayar kos yang diperlukan," titah baginda ketika melancarkan buku Tafsir Mawdui Sungai di Institut Asia-Eropah Universi Malaya di sini, hari ini.

Buku itu hasil karya Datuk Dr Zulkifli Mohd Yusoff dan Tan Sri Zaini Ujang diterbitkan Akademi Jawi Malaysia.

Turut hadir Pro Canselor UM Toh Puan Dr Aishah Ong, Pro Canselor UM Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Naib Canselor UM Prof Datuk Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor.

Sultan Nazrin bertitah, masyarakat perlu diinsafkan bahawa manusia dan alam sekitar saling berkait rapat.

Titah baginda, jika bahasa melambangkan bangsa, tahap kesihatan ekosistem sungai menggambarkan 'hati' masyarakat setempat.

"Aliran sungai yang indah amat berkait rapat dengan aliran yang indah dalam hati manusia.

"Pendekatan 'hard-ware' (sains dan teknologi), dan 'soft-ware' (dasar, undang-undang dan norma), tidak lengkap tanpa 'heart-ware' (hati, roh atau manusiawi).

"Roh manusia perlu dibisikkan dengan kesedaran, menginsafkan hati agar terasa berdosa apabila melakukan perbuatan yang mencemarkan alam," titah baginda.

Dalam masa yang sama, baginda menegaskan pendekatan lebih bersifat manusiawi perlu ditingkatkan, dalam hasrat dan usaha mahu meningkatkan kesedaran dan kesediaan masyarakat untuk melestarikan alam sekitar.

"Inilah usaha yang dirintis oleh kedua-dua pengarang Tafsir Mawdu'i Sungai, buku yang menjadi mauduk majlis pada pagi ini.

"Buku Tafsir Mawdu'i Sungai dihasilkan melalui integrasi ilmu oleh dua penulis dalam dua bidang berasingan, Prof Datuk Dr Zulkifli Mohd Yusoff dalam bidang pengajian Al-Quran dan As-Sunnah, sementara Datuk Seri Dr Zaini Ujang dalam bidang pengajian alam sekitar," titah baginda.

Baginda bertitah, buku itu dihasilkan melalui gabungan disiplin ilmu wahyu dengan disiplin pengurusan, juga disiplin sains dan teknologi berkaitan sungai.

"Pendekatan penulisan yang menggabungkan pakar daripada pelbagai disiplin, dan bersifat antara disiplin, wajar digalakkan agar ilmu akan berkembang dan bercambah lebih subur," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 1:16 PM