Asrol Awang


Kuantan: Aktiviti penguatkuasaan seperti pencerobohan tanah, kecurian hasil tanah dan mineral dan penerokaan hutan simpan secara tidak sah perlu dipertingkatkan.

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah ini kerana aktiviti penguatkuasaan masih pada tahap lemah dan perlu penambahbaikan.

"Ya, Pahang memang luas. Tapi ia tidak boleh dijadikan satu alasan untuk kita tidak boleh bertindak agresif kepada pencuri khazanah Pahang ini.

"Mahu tidak mahu aktiviti penguatkuasaan ini perlu diperhebat lagi. Saya mahu semua agensi penguatkuasaan tegas dan berani.

"Jalankan tugas dengan profesional tanpa mengira latar belakang pesalah. Kepada kerajaan saya, cari jalan supaya aktiviti penguatkuasaan dapat ditingkatkan lagi.

"Berilah bajet yang bersesuaian agar mereka dapat jalankan tugas dengan sempurna," titahnya pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Tengku Hassanal bertitah, pentadbiran baharu kerajaan negeri diharap dapat meneruskan keharmonian serta kegemilangan untuk membangunkan ekonomi dan fizikal serta meningkatkan pendapatan negeri demi kemakmuran rakyat.

Titah baginda, kerajaan negeri harus memperkukuh lagi iltizam untuk melipatgandakan produktiviti dan daya saing bagi memastikan prestasi kutipan hasil tahun 2023 dipertingkatkan lagi sebagaimana sasaran yang ditetapkan.

"Saya berbangga dengan pencapaian kerajaan sehingga Disember 2022 yang mana tujuh projek pelaburan antarabangsa dari Singapura, China, Thailand dan Korea Selatan berjaya dimuktamadkan dengan jumlah nilai pelaburan kira-kira RM11 bilion.

"Suka saya nasihatkan pantau betul-betul pelaburan ini. Kita tidak mahu hanya gah pada angka tetapi biarlah rakyat turut menerima limpahan pekerjaan yang bakal tercipta," titah baginda.

Paling penting, baginda bertitah, semua pelaburan yang masuk tidak mencemarkan alam sekitar di Pahang.

Titah baginda, apa sahaja projek yang dilaksanakan ia mestilah seimbang antara pembangunan dan menyokong ke arah pelepasan karbon sifar bersih.

"Ingat dalam usaha kita mengejar kemajuan negara dan negeri kita tidak boleh sama sekali membelakangkan alam sekitar dalam kehidupan.

"Saya tidak mahu menang bersorak kampung tergadai. Lebih-lebih lagi Pahang adalah negeri yang kaya dengan sumber asli dan khazanah alam yang paling bernilai.

"Sumber asli yang kita ada sekarang ini tidak akan bertahan lama jika tidak ada pengurusan dan perancangan yang tersusun.

"Setakat ini sumber asli negeri Pahang dijangka mampu bertahan selama 150 tahun. Namun saya ia dapat bertahan lebih daripada 300 tahun atau lebih lama daripada itu," titah baginda.

Justeru, baginda bertitah, kerajaan negeri tiada pilihan dan perlu merangka strategi untuk beralih daripada sumber ekonomi tradisional seperti hasil tanah mineral dan balak sekarang kepada sumber ekonomi alternatif yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 12:05 PM