SULTAN Nazrin berkenan berangkat merasmikan Mesyuarat Pertama tahun keempat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan. FOTO ihsan Pejababt Setiausaha Kerajaan Negeri Perak
SULTAN Nazrin berkenan berangkat merasmikan Mesyuarat Pertama tahun keempat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan. FOTO ihsan Pejababt Setiausaha Kerajaan Negeri Perak
Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa vaksinasi adalah inisiatif pencegahan dan imunisasi adalah perisai pertahanan untuk meningkatkan daya imuniti.

Sehubungan itu, titah baginda, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah langkah semasa dilaksanakan secara besar-besaran untuk meningkatkan daya tahan rakyat menghadapi ancaman virus.

"Virus Covid-19 mencetuskan medan tempur baharu, kehidupan alam kini menghadapi serangan musuh biologi. Wabak ini akan terus berada dalam kalangan dan persekitaran kehidupan alam.

"Virus ini masih muda dan baharu, namun menunjukkan daya lawan dan daya tahan tersendiri, berkeupayaan bermutasi, menghasilkan pelbagai varian baharu untuk mengatasi vaksin ciptaan manusia," titah baginda.

Baginda bertitah, sehingga 24 Ogos lalu, 1,118,358 orang menerima dos pertama dan 797,317 orang lengkap menerima dos kedua iaitu 42.8 peratus daripada jumlah populasi dewasa di negeri ini.

"Kerajaan beta sedang mengusahakan inisiatif untuk mencapai kadar imunisasi kelompok dengan mempercepatkan program vaksinasi. Program pemberian vaksin juga dipertingkatkan dan ditambah baik melalui program jangkauan, menggerakkan pasukan khas ke lokasi pedalaman, mendekati dan menyantuni masyarakat di luar bandar dan masyarakat Orang Asli," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, doktor, jururawat, petugas kesihatan dan perubatan, pemandu ambulans dan kereta jenazah, penggali kubur serta pengurus rumah jenazah tiba-tiba dilanda tanggungjawab berat di luar jangka, berada di barisan paling hadapan menghadapi risiko jangkitan paling tinggi.

"Satu beban tanggungjawab yang mereka tidak pernah terbayang perlu dihadapi oleh profesion masing-masing. Begitu juga risiko besar yang dihadapi oleh penghantar makanan, petugas di kedai runcit di pasar raya dan di farmasi, pengendali pengangkutan awam, anggota pasukan keselamatan dan agensi berkaitan serta pegawai awam di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang mengendalikan pelbagai perkhidmatan penting. Mereka telah melaksanakan satu tugas fardu kifayah yang wajib dihargai," titah baginda.

Di samping itu, baginda bertitah, keadaan keselamatan makanan dunia semakin kritikal dan kerajaan perlu memberikan perhatian serius terhadap ancaman keselamatan bekalan makanan dengan mengaktifkan sektor pertanian, ternakan dan perikanan.

"Program Makanan Sedunia memberi amaran, daripada angka 27 juta orang yang diancam risiko kebuluran pada tahun 2019, kini meningkat kepada 41 juta orang di 43 buah negara.

"Peningkatan risiko kebuluran didorong oleh kenaikan harga barang makanan penting, ditambah dengan konflik, perubahan iklim dan masalah ekonomi, diburukkan lagi oleh pandemik," titah baginda.

Justeru titah baginda, setiap negara wajib memikirkan langkah strategik untuk menghadapi segala kemungkinan dalam suasana wabak terus merebak.

"Sektor pertanian, ternakan dan perikanan sangat perlu diperkenalkan dengan budaya kerja dan budaya pengeluaran baharu,menyuntik kaedah dan mekanisme moden agar produktiviti bahan makanan dapat segera ditingkatkan. Program melahirkan petani, penternak dan nelayan moden wajib diberikan keutamaan," titah baginda.

Dalam pada itu, titah baginda, hasrat untuk membangunkan negeri dengan lebih pesat bergantung kepada kekuatan sumber kewangan kerajaan.

Menurut baginda, dianggarkan dalam perut bumi Negeri Perak terkandung 1.7 juta tan sumber nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dan sumber itu adalah mineral terpenting pada masa kini dan masa hadapan kerana digunakan secara meluas dalam pelbagai industri teknologi tinggi, industri perubatan dan industri pertahanan.

Selain itu, baginda bertitah, pengalaman kerosakan muka bumi yang ditinggalkan dan harga yang perlu dibayar oleh negeri dan rakyat pasca aktiviti perlombongan bijih timah wajib dijadikan sebesar-besar pengajaran.

"Faktor kesihatan, keselamatan, alam sekitar dan manfaat jangka panjang negeri dan rakyat wajib diutamakan dan tidak boleh dikorbankan.

"Pada masa yang sama Negeri Perak tidak wajar berpuas hati berperanan semata-mata sebagai pengeluar bahan mentah, di sebaliknya pengeluaran bahan mentah hendaklah dilengkapi dengan aktiviti hiliran agar bahan mentah yang dilombong, dilengkapi dengan nilai tambah yang dapat memberikan pulangan hasil yang lebih bermakna dan membuka peluang kerja aras tinggi kepada rakyat tempatan," katanya.

Terdahulu, baginda berkenan berangkat merasmikan Mesyuarat Pertama tahun keempat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan di Dewan Mesyuarat Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Baginda bertitah, Dewan ini adalah tempat yang membolehkan rintihan rakyat didengari melalui suara ahli-ahli dewan yang sudah dipilih dan mendapat mandat rakyat semasa berlangsungnya pilihan raya.

"Alhamdulillah, dengan penentuan Ilahi, Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-14 dapat dilangsungkan meskipun menghadapi penangguhan disebabkan Proklamasi Darurat yang meletakkan negara berada dalam darurat antara 11 Januari sehingga 1 Ogos 2021.

"Dalam negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan-demokrasi berparlimen, Dewan Negeri sebagai sebuah badan perundangan, berperanan penting untuk mengukuhkan amalan demokrasi juga untuk mengimbangi peranan cabang eksekutif, terutama untuk menyemak, membahaskan dan meluluskan perbelanjaan negeri," titah baginda.

Titah baginda, ketika berlangsungnya Istiadat Pelantikan ahli Dewan Negeri Kota Tampan sebagai Menteri Besar Perak, baginda menzahirkan titah agar kerajaan merintis jalan meminimumkan perselisihan politik.

"Menyahut titah berkenaan, Menteri Besar ketika membentangkan belanjawan 2021 telah mengumumkan peruntukan saksama untuk kesemua 59 orang ahli Dewan Negeri tanpa sebarang diskriminasi sama ada ahli Dewan dari parti pembangkang atau parti pemerintah.

"Langkah yang dirintis oleh Menteri Besar adalah langkah berani, memperkenalkan budaya baharu dalam pentadbiran negeri. Langkah tersebut mungkin satu langkah permulaan yang kecil, tetapi jika terus disuburkan akan membantu melonjakkan budaya politik baharu aras tinggi yang kurang berkonfrontasi sifatnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 11:50 AM