M Hifzuddin Ikhsan dan Izad Thaqif Hassan


Bandar Baharu: Polis masih meneruskan operasi memburu baki 88 tahanan etnik Rohingya yang merusuh dan melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap kelmarin.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, berkata dalam operasi setakat jam 12 tengah hari tadi, pihaknya berjaya menahan semula lapan tahanan sekitar kawasan pencarian.

Katanya, sehingga kini, sejumlah 440 tahanan membabitkan 223 lelaki dewasa, 88 perempuan dewasa, 68 kanak-kanak lelaki dan 61 kanak-kanak perempuan sudah ditahan.

"Pecahan 88 tahanan yang masih bebas adalah 71 lelaki dewasa, sembilan perempuan dewasa, satu kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.

"Kita percaya mereka ini masih berada di kawasan sekitar dan keadaan mereka adalah letih dan kelaparan kerana sudah tiga hari melarikan diri," katanya pada sidang media di kawasan operasi pencarian Bukit Tok Non di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Datuk G Suresh Kumar dan Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Mohd Akmal Hizam Abd Khupur.

Wan Hassan berkata, operasi mengesan saki baki tahanan kini dilakukan pihaknya 24 jam membabitkan bantuan Pasukan Gerakan Udara (PGU), Unit Anjing Pengesan (K-9) dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Op Tutup dan Op Kesan masih diteruskan bagi mengesan tahanan masih bebas membabitkan seramai 287 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, IPK Pulau Pinang dan IPK Perak.

"Kawasan pencarian pula adalah sekitar daerah Bandar Baharu dan Kulim di Kedah, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dan Kerian, Perak," katanya.

Berikutan itu, beliau meminta orang ramai yang menemui tahanan tidak melindungi mereka kerana tindakan boleh diambil mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 7:04 PM
ANGGOTA Pasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan operasi mencari saki baki tahanan Etnik Rohingya yang masih lagi bebas. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
ANGGOTA Pasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan operasi mencari saki baki tahanan Etnik Rohingya yang masih lagi bebas. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR