Oleh Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Polis Pulau Pinang menyifatkan kebanyakan 528 tahanan etnik Rohingya yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap awal pagi tadi tiada perancangan jelas untuk melarikan diri.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, berdasarkan pemerhatian beliau sendiri yang turun padang di lokasi kejadian mendapati kebanyakan tahanan berkaki ayam malah ada yang berpuasa.

"Ada di antara mereka yang uzur dan ada yang sakit pinggang. Saya juga mendapati ada seorang bayi berumur kurang daripada setahun yang sedang didukung ibunya.

"Seorang daripada mereka yang saya temui turut boleh bercakap dalam dialek Kelantan dan bercerita dia sudah tiga tahun bekerja di Malaysia," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di sini, hari ini.

Katanya, sehingga 12 tengah hari tadi enam tahanan terbabit berjaya ditahan semula di kawasan Sungai Kerian menjadikan jumlah tahanan yang diburu setakat ini berbaki 171 orang namun beliau tidak menolak kemungkinan terdapat lagi tangkapan lain yang berjaya dilakukan pihak berkuasa Kedah dan Perak.

Beliau berkata, polis Pulau Pinang membabitkan 17 pegawai dan 80 anggota menjalankan Op Tutup dengan mengadakan sekatan jalan di tiga lokasi iaitu Jalan Sungai Baung, Jalan Tasek Valdor dan Jalan Kerian Kedah di Seberang Perai Selatan.

Mohd Shuhaily berkata, enam tahanan yang maut ketika melintasi Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menghala selatan iaitu berhampiran kawasan Jawi dilanggar sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 50-an.

Katanya, ketika ditahan semula, mereka menuju ke arah selatan dan berjalan dalam satu rombongan besar dan ramai di antara mereka hanya menjadi pengikut dan tidak jelas lokasi yang hendak dituju.

"Kesemua tahanan yang ditahan pagi tadi didapati berjalan hampir 10 kilometer dari lokasi mereka melarikan diri dan melintas jalan beramai-ramai dipercayai mahu menuju ke dalam hutan berhampiran," katanya yang turut meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat jika terserempak dengan tahanan yang masih bebas itu.

"Kita dapati ada beberapa individu yang membantu memujuk mereka balik ke depot tahanan dan kami ingin mengajak orang ramai menggunakan pendekatan yang sama. Tetapi kalau tidak yakin boleh dapatkan bantuan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 4:38 PM