GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Anggota sukarelawan polis yang bertugas mengawal kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Tabuan Melayu, di sini, cedera dirempuh lelaki bermotosikal malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, ketika kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa bersama anggota lain menahan suspek yang menunggang motosikal untuk pemeriksaan rutin ketika melakukan pemantauan Covid-19.

Bagaimanapun katanya, suspek yang berusia 21 tahun itu enggan memberi kerjasama dan cuba melarikan diri lalu merempuh mangsa.

"Selepas merempuh mangsa, anggota polis yang lain berjaya menahan suspek dan hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahsmon berkata, akibat rempuhan itu, mangsa retak tulang tangan kiri selain cedera di pinggang serta kaki.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan itu dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan.

"Suspek ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada anggota yang bertugas.

"Selain itu, suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1987 kerana positif dadah," katanya.

Katanya, suspek turut dikompaun kerana didapati keluar daripada rumah di kawasan PKPD tanpa kebenaran polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 6:12 PM