GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Peniaga kerugian RM382,500 selepas diperdaya seorang lelaki yang menawarkan perkhidmatan berhubung cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, lelaki berusia 74 tahun itu membuat 21 pembayaran kepada suspek berusia 50-an sejak Mei tahun lalu.

Beliau berkata, mangsa yang menyedari penipuan itu membuat laporan polis dan bertindak atas maklumat risikan, polis berjaya memberkas suspek, Selasa lalu.

"Suspek sudah didakwa atas 21 pertuduhan di Mahkamah Kuching semalam dan dia mengaku tidak bersalah," katanya dalam kenyataan, hari ini..

Ahsmon berkata, modus operandi suspek ialah menawarkan bantuan untuk menyelesaikan bayaran denda cukai dan urusan pembayaran cukai pendapatan tahunan LHDN.

"Sebelum proses urusan itu dibuat, suspek akan meminta wang daripada mangsa.

"Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pernah ditahan kerana terbabit dalam jenayah pemerasan, kesalahan mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Akta Pencegahan Jenayah 1959," katanya.

Katanya, dengan penahanan suspek, polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes penipuan di bandar raya ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 4:47 PM