GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Anggota polis cedera selepas dipukul seorang lelaki ketika sedang melakukan pemeriksaan dalam Ops Lejang, di Samariang, di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 11.55 malam ketika anggota itu terbabit dalam operasi mengesan kes kecurian kenderaan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, mangsa yang tidak didedahkan identiti cedera di muka dan mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Umum Sarawak (HUS).

"Lelaki (suspek) ditahan untuk pemeriksaan dalam Ops Lejang, namun dia tiba-tiba bertindak agresif.

"Suspek berusia 38 tahun berjaya ditahan dan dia kini disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana melakukan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam," katanya.

Ahsmon berkata, beliau kagum dengan komitmen anggota polis itu yang sanggup berdepan risiko ketika menjalankan tugas.

"Saya akan memberikan surat penghargaan pada anggota itu yang bertugas dengan berani dan bersungguh-sungguh bagi membanteras jenayah di daerah Kuching," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 3:33 PM