Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Dua bekas banduan yang dibebaskan dari penjara, Disember tahun lalu, ditahan lagi kerana terbabit dalam jenayah pecah rumah dan mencuri kenderaan di sekitar bandar raya ini.

Kedua-dua lelaki yang berusia 26 dan 39 tahun itu serta seorang wanita berumur 28 tahun yang dikenal pasti ahli Geng Piji dipercayai terbabit dalam 24 kes curi kenderaan dan pecah rumah dan mereka ditahan dalam serbuan di sebuah kedai serbaneka dan bilik sewa di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, di sini, pada Jumaat dan Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, penahanan semua suspek dibuat hasil maklumat risikan yang dilakukan sejak sebulan lalu.

Beliau berkata, dua suspek lelaki itu dikenal pasti sebagai perancang utama jenayah pecah rumah dan curi kenderaan manakala suspek wanita pula bertindak sebagai perancang pasaran barangan hasil curi.

"Semakan mendapati dua suspek lelaki itu masing-masing mempunyai lapan dan 18 kes jenayah lampau, malah mereka dibebaskan dari penjara pada Disember tahun lalu.

"Suspek wanita itu pula mempunyai sembilan rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, di sini, hari ini.

Ahsmon berkata, turut dirampas dalam serbuan itu pelbagai barang curi termasuk dua kenderaan yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM430,000.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek mahir dan licik melakukan kegiatan jenayah dengan salah seorang suspek lelaki itu memiliki kepakaran mematikan sistem keselamatan di rumah atau kenderaan.

"Suspek wanita pula mahir mempromosi serta menjual barang curi dengan cara konvensional.

"Dia akan mencari bakal pembeli tanpa menggunakan media sosial bagi mengelak kegiatannya dikesan," katanya.

Ahsmon berkata, hasil siasatan juga mendapati ahli Geng Piji itu melakukan kegiatan jenayah pecah rumah antara jam 2 hingga 3 pagi.

"Semua suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A, Seksyen 411, Seksyen 427 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Selain itu, saya juga meminta mereka yang pernah membuat laporan kehilangan kenderaan serta barang apabila rumah dipecah masuk supaya tampil untuk membuat pengecaman barangan terbabit di IPD Kuching," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 2:20 PM