LORI dan pelbagai peralatan ditemui dalam serbuan di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai. Foto Ihsan PDRM.
LORI dan pelbagai peralatan ditemui dalam serbuan di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai. Foto Ihsan PDRM.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Polis berjaya memutuskan rangkaian sindiket penyeludupan diesel di negeri ini susulan penahanan tiga lelaki di sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, dekat sini, semalam.

Ketiga-tiga lelaki iaitu pemandu lori berusia 39 tahun serta dua penjaga stor masing-masing berusia 31 dan 55 tahun ditahan dalam operasi dilakukan cawangan Risik Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira 2 petang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, operasi yang diketuai Inspektor Mohd Hafiz Azizan itu dilakukan susulan isu penyelewengan diesel yang 'bermaharajalela' di negeri ini.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 36,000 liter diesel bersubsidi anggaran bernilai RM165,000.

"Ketika serbuan ketiga-tiga lelaki itu sedang leka memindahkan diesel dari sebuah lori ke tangki besi berwarna perak dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan di dalam lori itu menemui satu tangki besi berisi 3,000 liter diesel dan seunit pam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Christopher berkata, pemeriksaan lanjut di dalam premis menemui tiga unit tangki skid berisi 33,000 liter diesel berserta tiga hos lutsinar, lapan unit tangki IBC, enam unit pam diesel berserta 11 hos lutsinar.

"Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM346,600.

"Ketiga-tiga lelaki itu ditahan selepas gagal menyerahkan dokumen sah untuk penyimpanan diesel dan disyaki terbabit kegiatan penyeludupan bahan api itu," katanya.

Christopher berkata, hasil risikan pihaknya mendapati modus operandi sindiket adalah membeli diesel bersubsidi daripada stesen minyak di negeri ini sebelum dijual di pasaran industri dengan harga lebih tinggi.

"Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka untuk tindakan selanjutnya.

"Kes dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 3:49 PM