Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seorang wanita berkerja sebagai pengurusan sumber manusia kerugian RM132,900 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan Macau Scam menyamar pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima laporan polis berkenaan kes tipu menyamar sebagai pegawai KKM pada 30 April lalu.

Menurutnya, mangsa berusia 47 tahun yang bekerja sebagai pengurusan sumber manusia di sebuah syarikat swasta menerima panggilan daripada suspek mengaku sebagai pegawai KKM di Bahagian Pemeriksaan Bekalan Ubatan pada 18 April lalu.

"Mangsa diminta untuk mengesahkan sama ada pernah mengambil ubat-ubatan seperti ubat panadol, ubat tahan sakit, ubat batuk dan ubat selsema secara berlebihan di sebuah Klinik Komuniti.

"Mangsa menafikannya dan panggilan kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki lain yang menyamar sebagai pegawai polis memaklumkan rekod mangsa juga terbabit dengan jenayah pengubahan wang haram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahidisham berkata, mangsa ditakutkan sekiranya tidak mengaku kesalahan itu, waran tangkap akan dikeluarkan.

"Panik dengan ugutan itu, mangsa membuat pindahan wang sebanyak lima kali ke dalam satu akaun yang sama bermula dari 22 hingga 26 April lalu dengan jumlah keseluruhan RM132,900 dan diminta untuk menunggu keputusan siasatan itu.

"Pada 30 April lalu mangsa menerima panggilan telefon dan diminta untuk membuat bayaran tambahan.

"Merasa tertipu, mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2022 @ 4:14 PM