Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Lelaki 'kasanova' didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan menipu wanita yang dijanji mahu dikahwini hingga mangsa menyerahkan wang tunai dan barang kemas bernilai lebih RM100,000.

Bagaimanapun, Hisyah Sayuti, 34, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Hisyah dituduh memperdaya kerani, Siti Nurdiana Md Sah, 40, untuk menyerahkan wang tunai dan barang kemas bagi perkahwinan tidak wujud, yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdayakan sedemikian.

ANGGOTA polis membawa tertuduh yang dihadapkan ke Majkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini kerana perdaya kerani wanita. FOTO Hairul Anuar Rahim.
ANGGOTA polis membawa tertuduh yang dihadapkan ke Majkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini kerana perdaya kerani wanita. FOTO Hairul Anuar Rahim.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel di Bukit Bintang, di sini antara 6 Februari 2022 hingga 6 Mac 2022, dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebat, jika disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar yang menawarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kerana hanya bekerja kampung dan tiada pendapatan tetap.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan kes disebut semula 25 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 1:50 PM