FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan individu yang ditahan bagi membantu siasatan isu rasuah projek di Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) adalah eksekutif muda.

SPRM dalam kenyataan berkata, individu berkenaan adalah Junior Level Executive (eksekutif muda) dan bukannya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) seperti dakwaan segelintir pihak.

"Lapan lagi individu yang turut ditahan adalah pemilik dan pegawai kanan syarikat kontraktor serta vendor yang menjalankan projek berkaitan isu rasuah berkenaan.

"Sehingga 8 April lalu, seramai sembilan individu sudah ditahan bagi membantu siasatan berkenaan.

"Siasatan ini merupakan hasil kerjasama dan perkongsian maklumat antara SPRM dan Petronas bagi membantu memperkukuhkan integriti di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM menahan reman lapan individu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan projek milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bernilai lebih RM2.3 bilion.

Semua individu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini, dan SPRM Sarawak antara 1.30 tengah hari hingga 12.30 tengah malam kelmarin ketika hadir memberi keterangan.

Perintah reman terhadap semua suspek berusia antara 35 hingga 45 tahun itu masing-masing dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya dan Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak.

Mereka dipercayai terbabit dalam perlakuan rasuah projek milik sebuah GLC dengan anggaran nilai kontrak keseluruhan melebihi RM2.3 bilion antara 2017 hingga 2021.

SPRM turut melakukan beberapa sitaan antaranya 10 kenderaan mewah pelbagai jenama, pelbagai mata wang tunai melebihi RM27,000 serta lebih 50 barang kemas pelbagai jenis termasuk jongkong emas.

Turut disita, 15 jam tangan mewah pelbagai jenama, 13 beg tangan mewah pelbagai jenama selain membekukan 12 akaun syarikat dan individu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 2:29 PM