Hayati Ibrahim

Putrajaya: Pengarah urusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menyalahguna kuasa dan menerima rasuah.

Menurut sumber SPRM, dia ditahan di pejabatnya di Kuala Lumpur, pada 2 petang tadi selepas dipercayai terbabit dalam tender pertukaran sistem bank dan penerbitan buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara.

"Siasatan dan tangkapan dibuat hasil maklumat orang ramai berhubung salah laku rasuah selepas SPRM melancarkan operasi besar-besaran untuk menangkap mereka yang menyalahgunakan kuasa dan mempunyai kehidupan melebihi kemampuan.

"SPRM turut membekukan sejumlah RM8.1 juta dari beberapa akaun termasuk milik Pengarah Urusan itu dan beberapa individu lagi," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Sekyen 23 Akta SPRM 2009.

Katanya, individu berkenaan dijangka direman di Mahkamah Majistret Putrajaya, esok.

Penangkapan itu disahkan Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 7:31 PM