MOKHZANI Mahathir. FOTO arkib NSTP
MOKHZANI Mahathir. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Anak bekas Perdana Menteri hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan.

Tan Sri Mokhzani Mahathir yang juga ahli perniagaan hadir kira-kira jam 11 pagi tadi untuk direkod keterangan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan kehadiran individu terbabit.

"Ya, saya sahkan. Beliau hadir pagi tadi," katanya secara ringkas.

Terdahulu, media melaporkan, ahli perniagaan yang juga anak ketiga kepada seorang bekas Perdana Menteri dipercayai akan hadir di SPRM.

Siasatan yang dilakukan oleh SPRM di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Difahamkan, keterangan ahli perniagaan ini diambil selepas abangnya juga hadir di SPRM pada 17 Januari lalu.

Siasatan dilakukan SPRM terhadap ahli perniagaan ini dipercayai mempunyai kaitan pegangan saham beliau dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mendapatkan projek kerajaan.

Syarikat GLC itu dikatakan turut memenangi lesen fabrikasi struktur cari gali sebuah syarikat gergasi petroleum negara yang ketika itu bapanya adalah Perdana Menteri.

Pada 17 Januari lalu, anak kedua kepada seorang Perdana Menteri dipanggil SPRM berhubung aset bernilai tinggi dimilikinya di luar pesisir.

SPRM dalam kenyataan pada 18 Januari lalu mengesahkan memanggil Mirzan Mahathir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pukul 9.39 pagi.

Satu perintah notis disampaikan SPRM kepada beliau untuk melakukan pengisytiharan aset miliknya dalam tempoh 30 hari.

Perintah ini adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 5:32 PM