Ahmad Razif (kiri) bersama Dzulkifli (dua kiri) menarik pukat sebagai gimik perasmian Karnival Kemah Keming Tolok Rasuoh sempena Program Kembara Jelajah Anti Rasuah (KEJAR’17) di Pantai Teluk Ketapang hari ini. FOTO Ghazali Kori
Ahmad Razif (kiri) bersama Dzulkifli (dua kiri) menarik pukat sebagai gimik perasmian Karnival Kemah Keming Tolok Rasuoh sempena Program Kembara Jelajah Anti Rasuah (KEJAR’17) di Pantai Teluk Ketapang hari ini. FOTO Ghazali Kori
Zaid Salim


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersifat profesional dan tindakan diambil terhadap semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, penahanan dilakukan adalah untuk menjalankan siasatan berdasarkan asas yang kukuh dan bukanlah bersifat politik.

"SPRM tidak memilih bulu dalam mengambil sebarang tindakan bahkan sebelum ini ada ahli politik daripada pihak kerajaan turut disiasat.

"Kita melakukan siasatan terhadap Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad, seorang EXCO kerajaan negeri Johor dan Pegawai Kerajaan negeri Melaka berdasarkan maklumat diperoleh.

"SPRM tidak ada masa untuk berpolitik dalam isu ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Kembara Jelajah Anti Rasuah, di Teluk Ketapang, Kuala Nerus hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Dzulkifli berkata demikian bagi membidas tindakan seorang Ahli Parlimen pembangkang yang mengeluarkan kenyataan disifatkan 'pembelaan' terhadap tangkapan dilakukan pihaknya semalam.

Menurutnya, SPRM sentiasa profesional dalam semua isu namun seperti kes di Selangor semalam dan kes di Pulau Pinang, pihaknya baru menyiasat tetapi mereka sudah membuat pembelaan di media.

"Saya ingin menegaskan bagilah peluang SPRM untuk menyiasat, jika kita ada keterangan mencukupi sudah pasti kita akan mencadangkan untuk membuat dakwaan dan jika sebaliknya, SPRM tidak akan meneruskan tindakan seterusnya," katanya.

SPRM semalam menahan tiga individu iaitu Setiausaha Politik, pembantu peribadi dan kerani kepada seorang Ahli Parlimen dari Selangor atas dakwaan rasuah.

Sementara itu, Ahmad Razif mewajibkan seluruh kakitangan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (J3K) menyertai Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH).

"Saya sendiri sudah mendaftar diri sebagai sahabat GERAH, jadi saya mewajibkan semua kakitangan awam, GLC dan J3K di negeri ini untuk menyertainya bagi menunjukkan sokongan kepada SPRM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 8:56 PM