GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seorang kakitangan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor bagi membantu siasatan selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM10,000 kepada majikannya, antara enam hingga empat tahun lalu.

Suspek wanita berusia 39 tahun itu ditahan pada jam 10 pagi tadi selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor di sini.

SPRM Johor dalam satu kenyataan media berkata, suspek difahamkan sudah mengemukakan tuntutan palsu kepada GLC terbabit berkaitan pelaksanaan program di sebuah daerah di negeri ini pada 2017 hingga 2019.

"Program itu sebenarnya tidak dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan wanita itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan suspek kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 5:12 PM