Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan wujud unsur rasuah dalam projek Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dengan sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa di Sarawak.

Dalam kenyataan SPRM mengesahkan membuka kertas siasatan kes itu yang membabitkan pemberian projek bernilai RM399 juta kepada syarikat luar negara yang didakwa disekat oleh beberapa negara, seperti dilapor portal baru-baru ini.

Katanya, pihak Petronas memberikan kerjasama penuh dalam siasatan itu.

Siasatan terbaharu SPRM terhadap Petronas itu adalah yang kedua dalam tempoh dua tahun, selepas agensi penguatkuasaan berkenaan menyerbu Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) pada November tahun lalu dan menahan sembilan individu termasuk seorang eksekutif muda.

Pendedahan mengenai pemberian projek RM399 juta di Sarawak itu dilaporkan oleh sebuah portal sejak awal bulan ini yang mendakwa ia membabitkan pegawai tertinggi Petronas.

SPRM berkata, setakat ini pihaknya menemui beberapa kelemahan dalam amalan, sistem dan tatacara kerja berhubung isu itu dan sudah mencadangkan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) sebagai langkah pencegahan rasuah.

"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat baharu berhubung isu ini bolehlah tampil menyalurkan kepada Suruhanjaya untuk siasatan selanjutnya di bawah Akta SPRM 2009," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 5:58 PM