SERAMAI 102 individu termasuk 91 warga tempatan ditahan dalam Op Dadu yang dijalankan pada Sabtu hingga semalam. FOTO Ihsan Polis
SERAMAI 102 individu termasuk 91 warga tempatan ditahan dalam Op Dadu yang dijalankan pada Sabtu hingga semalam. FOTO Ihsan Polis
Omar Ahmad


Johor Bahru : Seramai 102 kaki judi ditangkap dalam tempoh dua hari menerusi Op Dadu Khas yang dijalankan serentak seluruh negeri ini, bagi membanteras kegiatan pelbagai bentuk perjudian.

Ketua Polis Johor, Komisioner M.Kumar berkata kesemua suspek berusia 18 hingga 67 tahun ditahan menerusi 87 serbuan pada Sabtu lalu hingga semalam.

Katanya ia membabitkan pelbagai jenis perjudian termasuk judi secara atas talian dan loteri awam tanpa lesen.

"Operasi membabitkan 111 pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor menahan 90 lelaki dan 12 wanita yang mana 91 adalah warga tempatan manakala bakinya adalah warga asing atas pelbagai kesalahan.

"Wang tunai berjumlah RM15,195 serta pelbagai perkakasan perjudian antaranya 94 unit telefon bimbit, 39 pencetak mudah alih, 155 helai kertas catatan, 104 daun terup, kerusi, meja dan modem wifi turut dirampas dalam serbuan itu.

"Kesemua 91 warga tempatan terbabit dipohon reman bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, manakala 11 warga asing direman di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sejak awal tahun ini hingga semalam, polis Johor menangkap 1,594 individu atas pelbagai kesalahan perjudian hasil 1,168 serbuan menerusi Op Dadu.

Dalam tempoh sama juga, pelbagai rampasan dibuat membabitkan 1,179 unit telefon bimbit, 507 pencetak mudah alih, 105 keping daun terup yang bernilai RM 460,855.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 5:33 PM