LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Tidak ada isu berbangkit dari segi syarak sekiranya penduduk makan ikan atau mandi di Sungai Nenggiri, Gua Musang selepas sebuah syarikat membuang daging babi sejuk beku di kawasan itu baru-baru ini.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ini disebabkan di sungai itu airnya mengalir dengan deras.

"Ikan itu tak ada masalah, boleh makan. Hukum Islam ini perlu yakin, tidak boleh ada persepsi dan tidak boleh ada anggapan.

"(Tapi) kalau pasti bahawa ikan itu makan dan kita pun tengok dia makan, bolehlah (tak makan). Dia kena kuarantin dahulu ikan itu beberapa hari," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Semalam dilaporkan, lebih 30 nelayan darat di tiga kampung di Gua Musang, kecewa dengan tindakan sebuah syarikat membuang daging babi sejuk beku ke dalam Sungai Nenggiri.

Nelayan darat dari Kampung Star, Kampung Bertam dan Kampung Pasir Tumbuh mendakwa tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu menyebabkan mereka tidak boleh mencari ikan di sungai.

Ketua Jaringan Nelayan Darat Kampung Pasir Tumbuh, Kamarudin Mohd Noor, 55, berkata, dia kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu kerana memberi kesan kepada pendapatan mereka.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri turut memberi contoh kuarantin yang perlu dibuat terhadap ikan yang memakan daging babi tersebut.

"Kalau contoh kita bela ikan itu dalam kolam. Kita beri makannya daging babi, tak boleh makan itu.

"Kena kuarantinlah, masuk dalam kolam yang lain. Seminggu misalnya tak beri makan yang haram ini dan beri (makan) yang halal. Selepas itu boleh makan balik," katanya.

Beliau juga menyatakan nelayan darat di tiga kampung itu juga boleh mencari ikan di sungai tersebut.

"Nelayan-nelayan ini saya nasihatkan turunlah ke sungai tangkap ikan. Tak ada apa. Kalau ikan itu memang jelas dia makan, kita kuarantin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 5:26 PM