Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang bomoh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita ketika memberi rawatan terhadap mangsa awal bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Raba'ai Parman, 66, dari Taman Bukit Rambai Utama, Bukit Rambai, dekat sini, mengangguk faham namun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Mohammad Izwan Mohamed Noh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencabul mangsa dengan menyapukan limau nipis dan telur ayam ke badan wanita berusia 41 tahun itu di sebuah rumah di Taman Rambai Utama, dekat sini, pada 11 Januari lalu, kira-kira jam 9 malam.

MOHD Mohd Raba'ai Parman dibawa ke lokap mahkamah selepas pertuduhan selesai dibacakan. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
MOHD Mohd Raba'ai Parman dibawa ke lokap mahkamah selepas pertuduhan selesai dibacakan. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Manakala tertuduh yang diwakili peguam Santhil Ramu merayu jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan hanya bergantung pada pencen untuk menyara isteri yang kurang sihat.

Katanya , tertuduh juga menjalani rawatan setiap bulan kerana menghidap sakit darah tinggi, kencing manis dan sakit tulang belakang.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan serta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 1:21 PM