Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Negeri Perak digesa segera menjalankan siasatan berhubung isu penjualan tanah untuk pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Ahlinya, Tan Kar Hing berkata, menjadi tanggungjawab jawatankuasa tetap dewan negeri itu memainkan peranan penting sebagai badan semak dan imbang untuk menyiasat perkara itu.

"Apatah lagi isu berkenaan berkaitan tanah bagi tujuan pembinaan lapangan terbang adalah perkara yang membabitkan kepentingan awam," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli PAC yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Keranji, Chong Zhemin.

Menurutnya, adalah wajar mantan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, mantan ahli lembaga Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), ahli lembaga PKNP terkini, serta pihak berkepentingan seperti syarikat yang membeli tanah itu Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah dan Majlis Daerah Perak Tengah dipanggil bagi tujuan siasatan.

TAN Kar Hing dan Chong Zhemin menunjukan surat permohonan Mesyuarat Jawatankuasa kira kira Wang negeri Perak. FOTO L Manimaran
TAN Kar Hing dan Chong Zhemin menunjukan surat permohonan Mesyuarat Jawatankuasa kira kira Wang negeri Perak. FOTO L Manimaran

Tan yang juga Adun Simpang Pulai itu berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Datuk Mohd Tarmizi Idris selaku Pengerusi PAC Perak untuk memanggil mesyuarat jawatankuasa bagi memeriksa isu berbangkit berkenaan.

"Memandangkan ia adalah perkara yang perlu disegerakan dan membabitkan kepentingan awam, selain beberapa perkara lain yang masih tertangguh memerlukan tindakan jawatankuasa, jadi kami memohon Pengerusi agar memanggil mesyuarat dengan kadar segera," katanya.

Beliau berkata, memandangkan isu penjualan tanah ini mengundang kenyataan berbeza, ia memerlukan penjelasan yang lebih teliti.

"Perkara ini penting, bukan setakat mengenalpasti zaman pemerintahan siapa yang menjualkan tanah terbabit, tetapi proses kelulusan penjualannya antara PKNP dan syarikat berkenaan.

"(Tetapi), keluasan dan lokasi tanah, harga jualan dan proses pembayaran dan sebagainya perlu disiasat dan dikenal pasti sama ada ada unsur salah laku atau sebaliknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 2:12 PM