Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, masih belum dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah untuk pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Saarani menjelaskan demikian susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil dan merakam percakapan beberapa individu bermula minggu ini.

"Belum dipanggil. Saya tidak fikir EXCO lain terlibat (untuk dipanggil) kerana seperti yang kita sedia maklum, ia membabitkan tanah milik PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak).

"Jadi, sudah tentu kalau hendak dipanggil pun ialah Pengerusi PKNP, Ketua Pegawai Eksekutif, lembaga pengarah sewaktu itu.

"Sekiranya saya dipanggil pun, mungkin kerana saya Menteri Besar Perak dan Pengerusi PKNP pada waktu ini," katanya.

DATUK Seri Saarani (kiri) melawat tapak pameran ketika hadir pada program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2022 dengan orang ramai di Stadium Indera mulia Ipoh. FOTO L MANIMARAN
DATUK Seri Saarani (kiri) melawat tapak pameran ketika hadir pada program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2022 dengan orang ramai di Stadium Indera mulia Ipoh. FOTO L MANIMARAN

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Beliau juga tidak dapat memastikan sama ada pegawai kanan kerajaan negeri akan turut dipanggil untuk memberi keterangan berhubung itu terbabit.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM akan memanggil dan merakam percakapan beberapa individu untuk membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah bagi pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar bermula minggu ini.

Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd Fauzi Mohamad dilaporkan berkata, individu berkaitan turut membabitkan beberapa ahli lembaga pengarah beberapa jabatan berkaitan.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani turut mengulas apabila ditanya media berhubung kenyataan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Datuk Hamidah Osman yang mendakwa tanah lapangan terbang itu dijual di bawah nilai pasaran.

"Biasanya, sama ada penjualan, pajakan dan sebagainya, PKNP akan merujuk kepada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi membolehkan kita membuat keputusan yang betul.

"Saya tidak dapat menjawab sama ada dia (Pengerusi PKNP) pada waktu itu (menjual) di bawah harga pasaran atau tidak. Jadi ia sepatutnya dirujuk kepada laporan JPPH sewaktu itu," katanya.

Saarani berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada SPRM berhubung perkara itu.

"Kita juga sudah tidak banyak berbincang, selepas sudah dibuat laporan kepada SPRM, jadi pasukan itu yang akan mengambil tindakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 4:11 PM