Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan berhubung isu projek pembinaan kapal tempur pesisir pantau (LCS) pada Oktober hadapan.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, ia bagi mendapatkan maklumbalas lanjut Kementerian Pertahanan berkenaan beberapa syor yang sudah dibentangkan PAC berkaitan isu LCS di Dewan Rakyat pada 4 Ogos lalu.

"Secara prosedurnya KSU diberikan masa sebulan untuk menghantar satu laporan tindakan susulan interim terlebih dahulu kepada PAC.

"Pada Oktober ini, kami akan menetapkan tarikh untuk memanggil KSU tampil ke PAC untuk memberikan pembentangan semula berkenaan maklumbalas dan tindakan lanjut," katanya kepada pemberita sempena sidang media khas berkaitan Kerja Menaiktaraf Infrastruktur di Taman Pinggir Sungai Pinji di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas apabila ditanya pemberita perkembangan terkini berhubung isu projek LCS.

WONG Kah Woh (kanan) pada sidang media khas berkaitan Kerja Menaiktaraf Infrastruktur di Taman Pinggir Sungai Pinji. FOTO L.Manimaran
WONG Kah Woh (kanan) pada sidang media khas berkaitan Kerja Menaiktaraf Infrastruktur di Taman Pinggir Sungai Pinji. FOTO L.Manimaran

Wong berkata, PAC akan membuat laporan berkenaan tindakan susulan berkenaan selepas pembentangan daripada KSU.

"Selepas pembentangan semula itu, kita akan memberikan ulasan yang selanjutnya berkenaan laporan kita.

"Ini (pembentangan semula) adalah prosedur biasa bukan hanya untuk LCS sahaja, iaitu untuk mana-mana kes yang disiasat dan juga dibentang laporan oleh PAC," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemadaman nama pemegang saham dan pengarah syarikat terbabit dalam projek LCS untuk proses nyahklasifikasikan sepatutnya tidak perlu dibuat oleh kerajaan.

"Sememangnya kita nampak sekurang-kurangnya ada satu syor yang penting yang sudah di laksanakan oleh pihak kerajaan iaitu syor nyahklasifikasi atau nyahrahsia laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

"Kita mahu bahawa keseluruhan laporan itu dinyahklasifikasikan tanpa sebarang pemadaman mana-mana bahagian.

"Bagi saya maklumat berkenaan dengan siapa pemegang saham dan pengarah dalam syarikat itu kesemua ini adalah maklumat terbuka yang boleh diperoleh oleh sesiapa sahaja dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 2:22 PM